Cheng Hoe perlu dikekalkan, kata Rajagobal

Oleh Penulis Jemputan 17 Disember 2018 575
Cheng Hoe perlu dikekalkan, kata Rajagobal
"Tan Cheng Hoe perlu dikekalkan."

Demikian pandangan bekas ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Datuk K. Rajagobal, yang percaya Cheng Hoe mampu untuk melonjakkan prestasi skuad Harimau Malaya ke tahap lebih tinggi andai terus diberikan peluang untuk tempoh beberapa tahun lagi.


Kedudukan Cheng Hoe menjadi tanda tanya sejurus berakhirnya kempen Piala Suzuki AFF 2018, kelmarin.

Ia susulan kontrak jurulatih berusia 50 tahun itu akan berakhir hujung bulan ini.

Cheng Hoe membawa skuad negara muncul naib juara Piala Suzuki AFF selepas tewas dalam aksi final kedua kepada Vietnam di Hanoi, kelmarin.

Bagi Rajagobal, Cheng Hoe masih individu tepat untuk membimbing skuad Harimau Malaya yang menunjukkan peningkatan sepanjang kempen Piala Suzuki AFF.

Untuk rekod, Cheng Hoe yang dilantik selaku ketua jurulatih negara, Disember tahun lalu, berjaya menepati sasaran yang ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk layak ke pentas akhir kejohanan berkenaan.

"Dia mampu meningkatkan tahap permainan pasukan negara andai diberikan lebih masa lagi.

"Jika pihak FAM sedar dengan peningkatan skuad negara dalam kempen Piala Suzuki AFF, saya berharap mereka akan mengekalkan Cheng Hoe," katanya.

Sementara itu, pemerhati bola sepak negara, Asmawi Bakiri, menyenaraikan beberapa perkara terhadap kewajaran untuk Cheng Hoe dikekalkan mengemudi skuad negara.

Antara yang utama adalah berdasarkan perubahan positif corak permainan skuad negara menerusi falsafah bola sepak moden yang diterapkan bekas jurulatih Kedah itu.

"Perkara yang paling bersesuaian ketika ini adalah mengekalkan Cheng Hoe selaku ketua jurulatih kebangsaan.

"Pada masa sama, saya mengharapkan Cheng Hoe dapat melakukan perancangan terhadap pemain-pemain muda yang akan dikekalkan dalam skuad kebangsaan untuk tempoh sekurang-kurangnya dua tahun akan datang," katanya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen