Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, memberi amaran awal hanya pemain yang benar-benar layak akan mendapat perhatiannya untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama.

Walaupun Malaysia telah mempamer aksi cemerlang dalam pertemuan dengan Indonesia dan Thailand, itu bukan jaminan pemain bakal tampil ketika aksi kelayakan Piala Dunia-Piala Asia berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE), 25 Mac ini.

Kehadiran pemain naturalisasi baru UAE dari Argentina, Sebastian Lucas Taglibue, dan dua pemain dari Brazil, Caio Canedo dan Fabio Virginio de Lima, adalah kekuatan luar biasa yang perlu dihadapi skuad negara.

"Kami masih belum dapat laporan penuh mengenai pemain-pemain tersebut, namun kami mengikuti perkembangan mereka dan bakal menghadirkan persembahan yang berbeza kali ini," kata Cheng Hoe.

"Kami akan sentiasa memberikan tumpuan sepanjang permainan bagi mendapatkan keputusan ketika berdepan UAE nanti."

Kekuatan UAE kini berganda selepas kehadiran pemain naturalisasi baru mereka ke dalam pasukan.




Editor: Ammar Hakim