Cheng Hoe idam aksi Piala Asia selepas kontrak disambung

Oleh Muzaffar Musa 9 Oktober 2020 578
Cheng Hoe idam aksi Piala Asia selepas kontrak disambung
Ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe, menggambarkan aksi di pentas Piala Asia 2023 sebagai mimpi yang mampu menjadi kenyataan selepas kontraknya bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dilanjutkan sehingga 2022.

Perkara itu disahkan Cheng Hoe dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, hari ini.

"Sasaran saya dalam tempoh dua tahun ini adalah untuk layak ke Piala Asia dan pada masa sama, kalau ada rezeki, saya mahu layak ke pusingan akhir kelayakan Piala Dunia.

"Sudah pasti jika saya seorang sahaja tidak mampu melakukan sesuatu dan apa yang penting adalah kami memerlukan sokongan daripada semua pihak.

"Pemain juga inginkan sesuatu dalam karier mereka kerana kami mahu mencapai sesuatu yang lebih baik dalam tahun 2021," katanya.

Pengendali kelahiran Melaka itu turut berkongsikan pandangannya mengenai pengembaraan bintang skuad kebangsaan, Safawi Rasid, bersama kelab Portimonense di bumi Portugal.
 
Posted by Portimonense Futebol SAD on Wednesday, 7 October 2020

"Saya rasa ia satu perkembangan yang positif dan berita yang cukup baik buat bola sepak Malaysia kerana jika lebih ramai pemain negara bermain dalam kejohanan yang lebih baik, ia akan memberikan impak yang lebih baik buat skuad kebangsaan.

"Saya rasa semua tahu Safawi Rasid kini beraksi dalam Liga Portugal dan liga itu merupakan antara yang terbaik di dunia.

"Saya fikir Safawi perlu bekerja keras untuk mendapatkan tempat di Portugal dan sudah pasti kita tahu terdapat juga tiga pemain yang sedang bermain dalam Liga Thailand, iaitu Dominic Tan, Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) dan yang terbaru (Mohamadou) Sumareh.

"Kita juga tahu Liga Thailand mempunyai saingan yang amat kompetitif, jadi apa yang penting, pemain-pemain ini perlu mendapatkan minit permainan.

"Matyo dan Dominic sudah dapat bermain, jadi kita harap Sumareh juga mendapat peluang yang sama.

"Setiap pemain juga perlu menjaga kecergasan dan fizikal mereka untuk  memperkuatkan pasukan kebangsaan dalam pusingan kelayakan Piala Dunia," tambahnya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen