Pemain Pahang, Mohamadou Sumareh, mencipta sejarah menjadi pemain naturalisasi pertama yang bakal menyarung jersi Harimau Malaya selepas tersenarai untuk dua aksi persahabatan dengan Sri Lanka dan Kyrgyzstan.

Kehadiran Sumareh jelas memberi kelegaan besar kepada pengendali, Tan Cheng Hoe, yang akhirnya berkesempatan menguji sentuhan pemain kelahiran Gambia itu.

Perkembangan tersebut turut mempunyai kaitan dengan pelepasan yang diberikan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang bakal mengiktiraf Sumareh sebagai pemain tempatan pada musim depan.

Ujar Cheng Hoe, Sumareh yang telah dihubungi berasa teruja kerana impiannya menabur bakti untuk Malaysia akhirnya tertunai.

"Kehadiran Sumareh sedikit-sebanyak boleh memberi impak kepada pasukan.

"Dalam masa sama, saya harap dia boleh bekerjasama dengan pemain-pemain lain sebagai sebuah pasukan.

"Saya sangat teruja untuk mengendalikan latihan kem pusat.

"Ini situasi yang berbeza memandangkan dia mendapat status warganegara dan dia sememangnya berbangga untuk berkhidmat untuk negara," katanya.

Mengenai status Akhyar Rashid yang turut dipanggil, Cheng Hoe, menjelaskan bahawa dia telah mendapat persetujuan daripada Bojan Hodak sungguhpun pemain itu terlibat dalam fasa akhir persiapan skuad B-19 yang akan menghadapi Kejohanan AFC B-19.

Malah, Akhyar tetap akan bersama skuad kendalian Hodak berlepas ke Jakarta keesokan harinya sebaik tamat aksi bertemu Kyrgyzstan, 16 Oktober nanti.

"Saya sudah berbincang dengan Hodak, kami sudah mencapai kata sepakat.

"Akhyar akan beraksi bersama pasukan kebangsaan terlebih dahulu sebelum dilepaskan untuk menghadapi Kejohanan AFC B-19," tambahnya.

Sementara itu, pemain tengah dan penyerang yang disenaraikan terdiri daripada Syamer Kutty Abba, Akhyar, Sumareh serta pemain berpengalaman, Norshahrul Idlan Talaha.

Barisan penjaga gol dan pertahanan yang dipanggil diketuai Khairul Fahmi Che Mat yang masih diberikan kepercayaan serta Adam Nor Azlin, Irfan Zakaria dan Matthew Davies.

Skuad bola sepak negara bakal membuka kempen Piala Suzuki AFF 2018 menentang Kemboja pada 8 November, diikuti pertemuan dengan Laos pada 12 November.

Menanti dalam perlawanan ketiga ialah Vietnam sebelum aksi dengan Myanmar menyusul pada 24 November.