Pemain tengah Real Madrid, Casemiro, yakin bahawa kelabnya akan merebut dua kejuaraan musim ini, iaitu gelaran LaLiga dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Juara bertahan LaLiga itu akan kembali beraksi dengan menentang Eibar dalam perlawanan liga malam esok, di mana mereka kini berada di tangga ketiga dan ketinggalan enam mata di belakang pendahulu, Atletico Madrid, berbaki 10 perlawanan musim ini.

Skuad Los Blancos itu juga akan kembali ke saingan peringkat benua degan menentang Liverpool dalam suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pertengahan minggu depan.

"Semua orang tahu bagaimana kemampuan kami dan apa yang kami boleh lakukan," kata Casemiro kepada TVE.

"Kami akan berjuang sehingga ke penghujung. Kami sedar ia sesutau yang amat sukar tetapi kami akan berusaha merebut kedua-dua kejuaraan itu.

"Bagi Real Madrid, kesemua perlawanan adalah penting. Kami sudah terbiasa untuk bermain dalam perlawanan besar.

"Kami gemar untuk bermain dalam perlawanan seperti ini. Yang pertama, kami perlu berfikir mengenai Eibar dan kemudian UCL dan seterusnya aksi Clasico (menentang Barcelona pada 10 April ini)," katanya.

Pemain kebangsaan Brazil itu juga menyedari bahawa Madrid, yang memenangi tiga kejuaraan Eropah berturut-turut dari 2016 hingga 2018, akan berdepan tugas sukar ketika menentang Liverpool.

"Ia akan menjadi perlawanan yang indah dan ditentukan berdasarkan perincian.

"Sesiapa yang melakukan kurang kesilapan akan menang. Liverpool memiliki pemain yang hebat dan perlawanan ini akan menjadi seperti final UCL.

"Ia perlawanan yang menyeronokkan dan mahu disertai semua pemain. Kami perlu memberikan segala-galanya dalam kesemua perlawanan dan bukan hanya ketika menentang Barcelona sahaja.

"Ini adalah perlawanan yang apabila anda menang, ia akan memberikan anda banyak galakan untuk meneruskan musim ini," katanya lagi.