Sepanyol akan ketiadaan Dani Carvajal, Alvaro Morata dan Andres Iniesta yang dihimpit masalah kecederaan bagi saingan kelayakan Piala Dunia berdepan Albania dan Israel.

Julen Lopetegui akan menyenaraikan nama pemain yang bakal dipilih untuk menggantikan tempat mereka sebelum perlawanan bertemu Albania dan kunjungan ke Israel untuk saingan Kumpulan G pada 9 Oktober nanti.

Bek kanan Real Madrid, Carvajal, dijangka berehat panjang selepas mengalami jangkitan kuman pada pericardium, membran yang sangat hampir dengan jantungnya.

Pemain berusia 25 tahun itu turun beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) ketika menang ke atas Borussia Dortmund, selepas turun dalam enam perlawanan pembukaan LaLiga musim ini.

Kecederaan hamstring memaksa Morata gagal membantu Chelsea ketika tewas 1-0 kepada pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City, dan bakal terlepas aksi antarabangsa.

Morata, yang telah menjaringkan tujuh gol dalam lapan perlawanan, terpaksa meninggalkan padang pada minit ke-35 di Stamford Bridge.

Kapten Barcelona, Iniesta, dijangka terpaksa berehat selama 10 hari kerana mengalami kecederaan yang sama seperti Morata ketika mencipta kemenangan 3-0 ke atas Las Palmas.

Sepanyol kini memiliki kelebihan tiga mata ke atas Itali untuk mengungguli Kumpulan G dengan berbaki dua perlawanan.