Pemain pertahanan Real Madrid, Dani Carvajal, bakal terlepas aksi pertama pusingan 16, Liga Juara-Juara (UCL) selepas digantung dua perlawanan oleh Badan Kawalan, Etika dan Tatatertib UEFA (CEDB) kerana "mengutip kad kuning dengan sengaja".

CEDB melancarkan siasatan selepas Carvajal sengaja melengahkan permainan ketika Madrid menuju kemenangan 6-0 ke atas APOEL dalam aksi UCL pada bulan lalu.

Kad kuning itu, yang ketiga buat Carvajal pada musim ini, sekaligus menyebabkan pemain berusia 25 tahun itu digantung untuk perlawanan terakhir Kumpulan H ketika bertemu Borussia Dortmund yang dimenangi Madrid 3-2.

Sekiranya dia terlepas hukuman itu, Carvajal mungkin layak beraksi dalam aksi pertama peringkat kalah mati pada Februari depan tetapi dengan keputusan CEDB itu, ia bermakna dia akan terlepas aksi pertama.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh CEDB berkata: "CEDB memutuskan untuk menggantung pemain Real Madrid CF, Dani Carvajal, untuk dua perlawanan UEFA.

"Memandangkan pemain Real Madrid CF, Dani Carvajal, tidak menyertai pertemuan Real Madrid dengan Borussia Dortmund pada 6 Disember lepas, maka pemain itu masih perlu menjalani (penggantungan) satu lagi perlawanan UEFA."

Carvajal berada dalam barisan skuad utama dalam tiga daripada enam perlawanan di Madrid dengan membantu mereka menjadi naib juara Kumpulan H di belakang Tottenham Hotspur.