Cardenas layak terima pujian, kata Mohamed

Oleh Penulis Jemputan 22 Disember 2019 488
Cardenas layak terima pujian, kata Mohamed
MONTERREY 2 AL-HILAL 2
(Monterrey menang penentuan penalti 4-3)

Antonio Mohamed berkata Luis Cardenas layak menerima pujian selepas Monterrey menewaskan Al-Hilal dalam penentuan penalti untuk mengungguli penentuan tempat ketiga Piala Dunia Kelab di Doha, Qatar awal pagi tadi.


Penjaga gol itu menyelamatkan sepakan penalti Carlos Eduardo dan Mohamed Kanno sebelum menyempurnakan sendiri sepakan terakhir yang mengesahkan kemenangan pasukannya.

Pengurus Monterrey, Mohamed, memuji penjaga gol simpanannya itu, yang merupakan antara 11 pemain yang dipilih bagi menggantikan pasukan yang tewas kepada Liverpool dalam separuh akhir

"Dia layak menerima pujian," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

"Kami mempunyai taktik dalam penentuan penalti.

"Saya meyakinkannya untuk mengambil sepakan itu dan amat gembira kerana pasukan ini telah memaparkan perwatakan yang besar."

Perlawanan di Stadium Antarabangsa Khalifa itu tamat dengan keputusan 2-2 selepas 90 minit.

Arturo Gonzalez dan Maximiliano Meza menghasilkan jaringan pantas pada awal babak kedua untuk memadamkan jaringan Eduardo pada minit ke-35.

Namun, pemain gantian, Bafetimbi Gomis, menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-66 untuk Al-Hilal mengheret perlawanan hingga ke penentuan penalti.

Ia bermakna, Monterrey menyamai pencapaian mereka pada 2012 dan Mohamed gembira dengan kebangkitan pasukannya selepas tewas 1-2 kepada Liverpool dalam perlawanan sebelumnya.

"Pemain telah memberikan segala-galanya.

"Kemenangan ini memberikan kegembiraan buat semua yang menyokong dan percayakan kami.

"Kami mahu beraksi dalam final tetapi saya katakan bahawa kami boleh memenangi perlawanan ini dan kami melakukannya.

"Saya amat gembira dan berbangga untuk menjadi sebahagian daripada Monterrey," katanya lagi.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen