Bekas pengurus AC Milan, Fabio Capello, menganggap Leonardo Bonucci "tidak dapat bertahan" dan bernasib baik bermain dalam sistem yang sesuai dengannya ketika di Juventus.

Pemain antarabangsa Itali itu berpindah ke San Siro dari juara Serie A itu menerusi kontrak bernilai €42 juta (RM204 juta) tetapi dia terpaksa berhempas-pulas dalam tempoh sukar skuad Rossoneri.

Capello, yang membantu Milan meraih empat Scudetto dan Liga Juara-Juara Eropah 1994 dalam tempoh cemerlang pada awal 1990-an, membuat penilaian terhadap kualiti Bonucci dan sebab di sebalik prestasi buruknya ketika ini.

"Dia pemain pertahanan terbaik Itali. Dia dalam kelompok tiga pemain terbaik dunia," kata Capello kepada Sky Sport Italia.

"Tetapi dia tidak boleh bertahan. Dia mempunyai masalah besar. Ia sangat sesuai untuk dia di Juventus di mana dia bebas. Ia sempurna untuknya bermain dalam tiga pertahanan. Bermain dalam empat pertahanan adalah sukar."

Bonucci membuat 16 penampilan dalam 18 perlawanan Milan untuk Serie A musim ini.

Skuad Gennaro Gattuso itu, yang menghadapi Inter dalam suku akhir Coppa Italia awal pagi esok, kini menduduki tangga ke-11 dalam liga.