Pemain antarabangsa Sepanyol, Sergio Busquets, mengakui sukar untuk mengawal situasi yang melibatkan rakan sepasukannya, Gerard Pique, apabila pertahanan Barcelona itu terus menjadi sasaran penyokong pasukan kebangsaan.

Sokongan Pique terhadap referendum kemerdekaan Catalonia menyaksikan dia diejek peminat dalam sesi latihan Sepanyol, semalam.

Ketegangan politik di negara itu terus menjadi tumpuan selepas pendahulu LaLiga, Barcelona, mengalahkan Las Palmas 3-0 tanpa kehadiran penyokong di Camp Nou, pagi Isnin lalu.

Perlawanan tersebut diadakan di sebalik pergolakan di rantau itu -- yang turut mengakibatkan pertembungan di antara orang awam dan polis -- selepas Kerajaan Sepanyol menganggap pungutan suara itu tidak sah.

"Saya katakan ini adalah tempoh saya yang paling sukar dalam pasukan kebangsaan akibat daripada semua yang berlaku dan saya fikir ia sukar untuk menyelesaikan situasi Pique," kata Busquets kepada Cadena Ser.

Busquets menambah: "Tidak ada mesyuarat khusus untuk menangani keadaan Pique.

"Saya tidak tahu sama ada (kapten Sergio) Ramos dan Pique telah bercakap tetapi ia bukan satu situasi biasa.

"Bagi Pique, dia kelihatan sama seperti biasa."

Sepanyol sedang bersiap sedia untuk menghadapi Albania dan Israel dalam kelayakan Piala Dunia pada Sabtu dan Selasa ini.