Penjaga gawang Borussia Dortmund, Roman Burki, akan melenyapkan segala spekulasi mengenai masa depannya apabila menandatangani kontrak baru bersama gergasi Bundesliga itu pada minggu depan.

Dikaitkan dengan Chelsea baru-baru ini, Burki -- dipancing daripada Freiburg lima tahun lalu -- mengesahkan bahawa dia akan terus memberikan komitmen kepada wakil Jerman itu berikutan telah mencapai persetujuan mengenai rundingan perjanjian barunya.

Pemain berusia 29 tahun itu mendedahkan berita berkenaan sejurus merakamkan kemenangan 1-0 di Fortuna Dusseldorf malam tadi -- hasil tandukan Erling Haaland pada waktu kecederaan.



Burki, yang kontraknya masih terikat hingga akhir musim 2020-21, berharap dapat menyelesaikan segala dokumen yang diperlukan sementara Pengarah Sukan Dortmund, Michael Zorc, mengesahkan ia akan dimuktamadkan beberapa hari lagi.

"Saya gembira dan berharap kami dapat melengkapkan semua urusannya minggu depan," kata pemain dari Switzerland itu seperti yang dipetik oleh akhbar Ruhr Nachrichten.

"Saya berasa sangat selesa di sini. Saya telah mewakili BVB selama bertahun lamanya dan selalu berasakan kasih sayang kelab ini."

"Kami telah bersetuju dengan Roman Burki untuk melanjutkan kontraknya. Kami gembira dapat terus menjadikan Roman sebagai penjaga gol kami. "

Sehubungan itu, Zorc berkata hala tuju pemain itu membuktikan komitmen Dortmund.

Zorc berkata: “Kami akhirnya bersetuju dan akan memeterai kontrak baru dalam tempoh beberapa hari akan datang. Saya sangat gembira bahawa kami akan terus memiliki khidmat Roman untuk beberapa tahun akan datang."