Pasukan Bundesliga Jerman akan dipaksa menyertai kem latihan secara kuarantin bulan depan bagi memastikan saingan musim ini dapat ditamatkan sebelum Euro 2020.

Keputusan drastik itu diumumkan Liga Bolasepak German (DFL) semalam dan akan bermula dengan kuarantin ringan pada 3 Mei ini, di mana pemain, jurulatih dan pegawai pasukan hanya dibenarkan meninggalkan rumah untuk ke fasiliti latihan kelab atau mengambil bahagian pada hari perlawanan.

Kuarantin lebih berat akan menyusul pada 12 Mei ini di mana kumpulan yang sama diarahkan untuk berkurung dalam kem pasukan masing-masing dan tidak bersama keluarga ketika tidak terlibat dengan perlawanan.

Tempoh kuarantin itu akan tamat pada perlawanan terakhir musim ini, iaitu pada 22 atau 23 Mei ini dan ia bermakna, setiap pasukan perlu menyediakan kemudahan dan tempat tinggal buat pemain dan staf utama sepanjang tempoh itu.

Peraturan baru itu akan melibatkan 18 kelab Bundesliga dan kesemua pasukan Bundesliga 2 sambil DFL menjelaskan bahawa mereka sudah memaklumkan kepada kelab-kelab terlibat pada bulan lalu bahawa langkah ini sedang dipertimbangkan.

Pemain Hertha Berlin diarahkan untuk menjalani pengasingan kendiri minggu lalu dan ia mengakibatkan tiga perlawanan Bundesliga mereka ditunda manakala saingan divisyen dua juga menyaksikan ada perlawanan yang terpaksa dibatalkan kerana kes COVID-19, sekali gus menyukarkan liga untuk ditamatkan mengikut jadual asal.

Jika terdapat pertambahan kes dalam beberapa minggu ini, ia akan mengakibatkan penundaan perlawanan yang mungkin akan bertindih dengan saingan Euro 2020, yang akan bermula pada 11 Jun ini.

DFL berkata dalam satu kenyataan: "Dua langkah dirancang: pertama, sekelompok orang yang termasuk dalam program ujian PCR biasa, yang terdiri dari pasukan profesional, pasukan jurulatih dan pegawai pasukan, harus tinggal hanya dalam lingkungan rumah mereka atau di tempat latihan / di stadium (secara kuarantin) bermula Isnin, 3 Mei.

"Ini bertujuan untuk mengurangkan kontak dan seterusnya meminimalkan risiko jangkitan seperti yang berhasil dilaksanakan pada fasa terakhir musim lalu setelah perlawanan kembali besambung.

"Pada langkah berikutnya, bermula Rabu, 12 Mei, kelompok yang terlibat daripada kesemua 36 kelab akan menyertai 'kem latihan kuarantin' setelah menjalani ujian PCR dengan hasil negatif tidak lebih dari 24 jam sebelumnya.

"Kem latihan kuarantin ini adalah wajib sehingga perlawanan terakhir kelab masing-masing pada hari perlawanan ke-34 (22/23 Mei), jadi perlawanan terakhir Bundesliga dan Bundesliga 2 akan dapat berlangsung dalam tempoh seperti yang ditetapkan.

"Tujuan kem latihan kuarantin ini adalah untuk memberikan perlindungan tambahan buat baki perlawanan, terutama kerana kekangan waktu disebabkan Euro, yang akan menyusul selepas tamat musim ini.

"Adalah menjadi tanggungjawab kelab untuk memastikan pemain, jurulatih dan staf latihan tidak bersentuhan dengan sesiapa melainkan sesama mereka sepanjang tempoh yang dinyatakan."