Juventus mungkin turun tanpa Gianluigi Buffon dan Miralem Pjanic untuk pertembungan Liga Juara-Juara (UCL) dengan Olympiacos, demikian ulas jurulatih, Massimiliano Allegri.

Penjaga gol veteran itu mengadu mengenai masalah betis sementara pemain tengah, Pjanic, bergelut dengan ketegangan otot untuk meletakkan kedua-dua tonggak itu dalam keraguan menjelang aksi menentang wakil Greece itu, awal pagi esok.

Mario Mandzukic kembali selepas tersisih daripada pertembungan dengan Napoli dan Gonzalo Higuain juga akan dipertaruhkan, namun pemain pertahanan, Giorgio Chiellini, tidak akan bersama skuad untuk kunjungan keAthens, yang secara tidak langsung membuatkan skuad bimbingan Allegri itu sedikit tempang.

"Higuain akan bermain, dia dalam keadaan baik secara fizikal dan mental. Mandzukic juga kembali," kata Allegri dalam sidang akhbar.

"Terdapat dua masalah: Buffon dan Pjanic. Miralem menghadapi tekanan otot; Gigi mempunyai masalah betis tetapi jika dia tidak dapat bermain, maka (Wojciech) Szczesny akan bermain.

"Tanpa Chiellini, Mattia De Sciglio atau (Daniele) Rugani akan bermain. Jika Pjanic tidak bermain, kami mempunyai (Claudio) Marchisio, (Rodrigo) Bentancur dan (Sami) Khedira," tambahnya.

Kemenangan akan menjamin kemaraan Juve ke pusingan 16 terakhir di samping juara kumpulan, Barcelona, ​​namun kekalahan akan memberi ruang kepada Sporting CP untuk memintas mereka andai berlaku kejutan dalam aksi di Camp Nou.

Allegri, yang menyaksikan pasukannya mengakhiri rentetan tanpa kalah Napoli dalam kempen Serie A pada Jumaat lalu, menggesa pemainnya agar mengabaikan keputusan perlawanan lain dan hanya memberi tumpuan kepada misi mengalahkan Olympiacos.

"Ia lebih penting daripada Napoli kerana kami perlu menang," katanya. "Kami perlu menunjukkan penghormatan dan kami tidak perlu memikirkan apa yang akan berlaku di Barcelona."

Olympiacos menghuni tangga tercorot Kumpulan D ekoran tewas empat kali, namun jurulatihnya, Takis Lemonis, menuntut anak buahnya memberikan persembahan bertenaga demi peminat.

"Sudah tentu, kami berada dalam keadaan yang istimewa, terutama kerana prestij permainan ini,. Yang keduanya, mata penting untuk ranking negara dalam UEFA (Kesatuan Bola Sepak Eropah)," katanya,

"Seperkara lagi, kami harus sentiasa mempunyai insentif untuk bermain dengan baik. Sudah tentu, saya tidak bermasalah tentang insentif, amat penting untuk kami fokus dan menampilkan permainan terbaik."