MANCHESTER CITY 0 WOLVES 0
(Man City menang sepakan penalti 4-1)

Pep Guardiola memuji prestasi cemerlang Claudio Bravo selepas penjaga gol itu menyelamatkan dua sepakan penalti untuk membantu Manchester City memenangi penentuan sepakan penalti 4-1 ke atas Wolves dalam Piala EFL.


Bravo -- penjaga gol nombor dua selepas Ederson -- menafikan sepakan Alfred N'Diaye dan Conor Coady bagi menyelamatkan City untuk mara ke peringkat suku akhir selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 dalam 120 minit perlawanan.

Pemain antarabangsa Chile berusia 34 tahun itu, yang tiba dari Barcelona musim lalu, terpaksa berada di belakang kepada rakan senegaranya, Ederson, tetapi Guardiola memuji pemain veteran itu.

"Claudio (Bravo) membantu kami untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya," kata Guardiola kepada Sky Sports.

"Anda analisis berapa banyak peluang yang kami ada dan berapa banyak yang mereka ada. Kami mempunyai lebih banyak peluang tetapi pada saat-saat istimewa, Claudio beraksi luar biasa.

"Saya tidak tahu (jika ia adalah perlawanan terbaiknya untuk City) tetapi sudah pasti dia menjadi penentu daripada segi satu lawan satu dengan penjaga gol, dan kemudian menyelamatkan dua penalti -- maka dia adalah pemain terbaik setakat ini.

"Ia bagus untuk kami, penting untuk meneruskan pertandingan ini. Ia persaingan istimewa kerana banyak sebab, kami bermain dengan satu hasrat," ujarnya.

Bravo, yang bergelut untuk mendapatkan prestasi terbaik pada musim 2016-17, telah membuat tiga penampilan untuk City dalam semua pertandingan -- sekali menjadi pemain gantian dalam Liga Perdana.

Guardiola menambah: "Claudio memberi kami peluang untuk mara, saya sangat gembira untuknya, cara dia berlatih, dia membuat persembahan yang baik.

"Musim lalu tidak mudah baginya, tetapi dia adalah penjaga gol yang berada pada tahap tinggi -- dia patut melakukan persembahan seperti itu," katanya lagi.