Barcelona selesai menandatangani Francisco Trincao dan susulan itu Presiden Braga, Antonio Salvador, yakin penyerang berkenaan akan menjadi salah seorang pemain terbaik di dunia dalam tempoh 10 tahun lagi.

Trincao memeterai perjanjian lima tahun dengan Barca pada Januari lalu tetapi perpindahan bernilai €31 juta (RM147.3j) ke Camp Nou itu tidak akan berlaku sehingga 1 Julai depan, malah masih perlu dilihat apakah tarikh tersebut akan dipatuhi ekoran penggantungan sukan yang paling besar itu kerana ancaman wabak novel koronavirus (Covid-19).

Klausa pelepasan bernilai €500j (RM2.3 bilion) yang turut menjadi sebahagian daripada perjanjian itu dipersetujui pemain antarabangsa Portugal B-21 berkenaan yang menyumbat tujuh gol dalam 29 penampilan musim ini.

Dalam pertemuan di atas talian bersama penyokong, Salvador memberi petunjuk bahawa Trincao akan meraih kejayaan besar di Sepanyol sambil memberi jaminan kepada peminat bahawa dia tidak lagi bercadang untuk melepaskan pemain terbaik mereka.

"Kami sedar bahawa kami akan kehilangan salah seorang pemain hebat kami, saya anggap yang terbaik, iaitu Trincao. Ia akan ditentukan dalam tempoh dari sekarang," kata Salvador.

"Seperti yang anda ketahui, dia telah dijual ke Barcelona. Saya percaya hampir keseluruhan skuad akan dipertahankan musim depan."


Katanya lagi:" Skuad kami akan ditunjangi lebih ramai pemain daripada akademi. Ini didorong oleh aspek kemudahan menakjubkan yang kami lakukan.

"Ia akan melahirkan lebih ramai pemain bakat. Kami mahukan mendapatkan pemain utama yang mantap bagi menyokong pemain muda yang akan diserap masuk."