Harapan untuk melihat senario bola sepak negara kembali bernyawa semakin hampir apabila Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberikan kelonggaran untuk beberapa sukan berkumpulan.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kebenaran itu, bagaimanapun, tidak membabitkan sebarang bentuk pertandingan tetapi hanya untuk memulakan sesi latihan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Walaupun saingan Liga Malaysia masih belum boleh dianjurkan, kelonggaran itu sekurang-kurangnya dilihat sebagai satu petanda untuk saingan bola sepak tempatan dapat bersambung pada Ogos atau September depan.

"Terdapat empat perkara dalam larangan sektor sukan dan rekreasi fasa dua, iaitu tiada penganjuran sebarang kejohanan dan pertandingan, tiada aktiviti sukan dan rekreasi yang bersentuhan badan, tiada permainan atau perlawanan bagi sukan berpasukan dan sukan tempur dan yang terakhir, tiada aktiviti di dalam kolam renang," katanya dalam sidang media harian, hari ini.

"Bagi sukan berpasukan seperti bola sepak, hoki, ragbi, bola jaring dan sukan tempur seperti karate, taekwondo, silat dan sebagainya, masih kekal tidak boleh dimainkan secara permainan.

"Seperti yang saya sebut tadi, ia berbeza, latihan boleh, seperti juga bola sepak, mereka boleh berlari dan melakukan senaman tetapi secara individu dan tidak boleh ada permainan di antara dua pasukan," katanya lagi.

Sementara itu, dalam satu sidang media berbeza, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata latihan bagi sukan bola sepak boleh bermula seawal 15 Jun ini tanpa melibatkan sentuhan badan dengan jarak sosial dinamik di antara tiga hingga lima meter.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga akan membantu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mendapatkan lampu hijau daripada MKN bagi mengadakan latihan buat pasukan senior kebangsaan dan skuad B-19 negara.

"Kami mahu memulakannya dengan latihan tanpa sentuhan terlebih dahulu. Mereka (FAM) sudah tahu mengenai perkara itu.

"Datuk Hamidin (Mohd Amin, Presiden FAM) sudah berjumpa saya sebanyak empat kali, cuma pada waktu itu, kami hanya mahu mendapatkan pengesahan bahawa kebenaran yang akan dikeluarkan bukan hanya di peringkat FAM tetapi buat seluruh pasukan negeri.

"Dan hari ini, saya mengumumkan, ia juga terbuka buat sukan-sukan yang ada liga seperti hoki.

"Mereka boleh memulakan latihan tetapi tanpa sentuhan," katanya.