Jerome Boateng berkata ia bagaikan mimpi menjadi kenyataan andai dia dilantik sebagai ketua pasukan Bayern Munich dan memberi isyarat dia bakal bersara dari peringkat antarabangsa pada 2018.

Pemain berusia 28 tahun itu merupakan calon berpotensi untuk menyarung lilitan kapten Jerman susulan persaraan Bastian Schweinsteiger, namun dia terlepas peranan itu kepada Manuel Neuer.

Tatkala Boateng akur dengan keputusan itu -- dan menganggap Neuer dan Thomas Muller sebagai pemimpin yang hebat -- dia berharap untuk menggantikan Philipp Lahm sebagai ketua pasukan di Bayern.

"Saya secara peribadinya mengucapkan tahniah kepada Manu sejurus dia dilantik sebagai ketua pasukan Jerman," kata pemain pertahanan itu kepada Bild.

"Jawatan kapten bagi skuad kebangsaan bukan kemestian (buat saya).

"Saya akan berasa sangat gembira dilantik sebagai kapten Bayern jika berpeluang. Bagi saya, ia adalah impian dan penghormatan berdasarkan senarai nama-nama pemain sebelum ini.

"Bagi Jerman, Manuel Neuer dan Thomas Muller merupakan calon yang layak."

Tambah Boateng, dia mungkin bersara dari peringkat antarabangsa selepas Piala Dunia 2018 - namun sekiranya Jerman muncul juara lagi.

"Mungkin saya sudah memutuskan bahawa tahun 2018 di Russia merupakan kejohanan terakhir saya.

"Tapi ia bergantung kepada sama ada kami (berjaya) mempertahankan gelaran juara dunia."