Pemain pertahanan Bayern Munich, Jerome Boateng, cergas untuk turun menentang Bayer Leverkusen dalam aksi Bundesliga minggu ini.

Pemain antarabangsa Jerman itu dikeluarkan ketika Bayern kalah mengejut 3-2 kepada Rostov dalam saingan Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu ini.

Boateng mempamerkan aksi buruk sebelum ditimpa kecederaan itu sehingga mengundang kritikan pengerusi kelab, Karl-Heinz Rummenigge, berhubung prestasinya kebelakangan ini.

Dia berpeluang untuk memperbaiki permainannya ketika berdepan Leverkusen di laman sendiri selepas ujian imbasan kesihatan mendapati dia hanya mengalami kekejangan otot.

"FC Bayern boleh bergantung kepada Jerome Boateng untuk perlawanan menentang Bayer Leverkusen hujung minggu ini," menurut kenyataan kelab itu.

Bayern gagal meraih kemenangan sejak tiga perlawanan lalu dan ketinggalan tiga mata di RB Leipzig yang kini menduduki puncak liga.