Real Betis sedang mempertimbangkan kedudukan Gus Poyet sebagai ketua jurulatih berikutan ancaman daripada peminat untuk memboikot perlawanan di tempat sendiri melainkan dia dipecat.

Gol Sur 1907, yang merupakan persatuan penyokong dan juga penyokong utama, mengeluarkan kenyataan kelmarin, menuntut pemecatan bekas pemain kebangsaan Uruguay itu.

"The Penas [kelab penyokong] yang membentuk Gol Sur 190, telah mengadakan mesyuarat dan memutuskan bahawa kami tidak akan ke [Estadio Benito] Villamarin, sehingga ahli lembaga memecat Poyet," kata mesej yang disiarkan di akaun Twitter kumpulan itu.

Presiden Betis, Angel Haro, kini memberi jaminan kepada peminat bahawa ahli lembaga sedang mempertimbangkan pilihan mereka, menyebabkan spekulasi bahawa Poyet kini sedang menghitung harinya.

"Kami mengkaji perkara itu dan bekerja mengikut keadaan. Peminat Betis boleh kekal tenang," katanya seperti yang dipetik oleh AS semalam.

Betis tewas lima daripada enam perlawanan terakhir mereka dalam La Liga dan hanya dua mata memisahkan mereka daripada zon penyingkiran.

Beberapa penyokong menuntut Poyet untuk bertanggungjawab di atas kekalahan 6-1 yang memalukan kepada Real Madrid dan kekalahan 1-0 di laman sendiri kepada Espanyol bulan lalu.