Penggendali skuad bawah 22 tahun negara, Frank Bernhardt, berdepan tugas sukar apabila beberapa tonggak dalam pasukannya mengalami kecederaan serius menjelang perlawanan persahabatan dengan skuad kebangsaan Brunei, lusa.

Hari kedua sesi latihan skuad muda negara itu menyaksikan 18 pemain melaporkan diri.

Namun, kelibat pemain Kedah, Muhd Farhan Isa, tidak kelihatan kerana dilaporkan mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) dan dijangka bakal terlepas aksi menentang Brunei.

Namun, Bernhardt sudah pun mempunyai pelan kecemasan apabila memanggil pemain UiTM FC, Zulkhairi Zulkeply, untuk menggantikan posisinya

"Selepas pembedahan, mungkin enam hingga lapan bulan, kemudian dia perlu kembali, ia mungkin untuk masa singkat atau dia mungkin tidak akan beraksi, saya masih belum tahu lagi.

"Kami perlu menanti sehingga pembedahannya dan bagaimana semua proses berjalan dan pastinya ia memakan masa," jelas Bernhardt.

Bagi Zulkhairi, dia tidak berasa kekok meskipun posisi sayap kanan bukanlah posisi kegemarannya.

Bersama UiTM FC, Zulkhairi banyak bermain sebagai pemain pertahanan, namun menentang Brunei, Bernhardt sudah melatihnya untuk beraksi di posisi tersebut seandainya diturunkan dalam pertemuan itu.

"Kalau saya diturunkan dalam perlawanan esok, saya akan mencuba untuk memberikan persaingan yang terbaik.

"Sebelum ini, saya bermain di bahagian pertahanan tengah, jadi saya cuba untuk mengekalkan posisi tersebut. Jika perlu bermain di posisi pertahanan kanan, saya tiada masalah," ujar Zulkhairi.