Jurulatih skuad bawah 22 tahun negara, Frank Bernhardt, bersikap rendah diri apabila menjangkakan pertemuan sengit dalam aksi persahabatan menentang Brunei di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.

Skuad muda negara akan diuji dengan dua perlawanan menentang Brunei untuk persiapan menghadapi Sukan Sea di Kuala Lumpur tahun depan.

Di atas kertas, pasukan yang digelar skuad projek Sukan Sea 2017 ini tampak menjadi pilihan walaupun lawannya, Brunei, menurunkan skuad senior.

Namun, tanggapan itu pantas ditepis Bernhardt, yang mahu anak buahnya kekal waspada untuk misi mengembalikan momentum kemenangan di pentas antarabangsa.

"Saya jangkakan lawan kami (Brunei) beraksi secara agresif, ditambah pula mereka turunkan skuad senior dan ia satu cabaran buat kami. Diharapkan kami dapat bermain dengan corak permainan seperti biasa," katanya.

Meskipun hadir untuk persiapan aksi kelayakan Piala Suzuki AFF pada pertengahan bulan ini, kem Brunei tetap mengintai keputusan positif berdepan Malaysia.

Hakikat itu tidak dinafikan penolong jurulatihnya, Ali Mustafa: "Kami mengharapkan pemain-pemain cepat menunjukkan keserasian dalam perlawanan."

Dua pertemuan skuad bawah 22 tahun negara dengan Brunei akan dibawakan secara langsung di Astro Arena, saluran 801 dan 802 HD.

Ia akan berlangsung pada esok, jam 8.30 malam dan Sabtu, jam 5.00 petang.