Gregg Berhalter dilantik ketua jurulatih Amerika Syarikat (AS) selepas spekulasi yang berlanjutan selama berbulan-bulan.

AS tidak memiliki sebarang jurulatih tetap sejak Bruce Arena meletakkan jawatan pada Oktober 2017.

Ia susulan kegagalan bekas jurulatih itu membawa pasukan layak ke Piala Dunia 2018 -- kali pertama sejak 1986.

Dave Sarachan bertindak sebagai jurulatih sementara yang membimbing pasukan itu dalam beberapa siri persahabatan sebelum ini, namun kontraknya akan ditamatkan penghujung tahun ini.

Berhalter dinamakan sebagai pengendali baru AS selepas meninggalkan Columbus Crew yang dibimbingnya selama lima tahun.

Beliau mencipta sejarah menjadi jurulatih pertama AS yang pernah mewakili pasukan itu di peringkat Piala Dunia dengan mengumpul 44 penampilan antarabangsa.

Untuk rekod, beliau pernah beraksi bersama pasukan kebangsaan itu dalam Piala Dunia 2002 di Korea Selatan dan Jepun.

"Ia merupakan pernghargaan yang besar. Sebagai seorang bekas pemain, saya tahu betapa tinggi penghargaan untuk membimbing pasukan ini.

"Saya percaya dengan kemampuan pemain dan program pembangunan pasukan.

"Kami akan bekerjasama dalam membina sesuatu yang istimewa dan menghasilkan pasukan yang mampu dibanggakan penyokong," katanya.