Karim Benzema yakin Real Madrid akan beraksi garang sebaik kempen LaLiga musim ini diteruskan sambil menegaskan Zinedine Zidane menekankan aspek keseronokan pasca krisis COVID-19.

Selepas saingan musim ini tertangguh selama tiga bulan ekoran pandemik itu, kelab gergasi dari ibu kota Sepanyol itu akan kembali beraksi 14 Jun ini dengan menjadi tuan rumah kepada Eibar.

Kancah LaLiga dibenarkan untuk kembali di gelangang tertutup berikutan ancaman virus itu semakin reda, justeru Madrid bersemangat tinggi untuk menyekat Barcelona dalam menentukan reputasi sebagai jaguh liga musim ini.

Biarpun Barca memimpin saingan dengan dua mata mengatasi seteru ketat mereka itu, Benzema tetap yakin Los Blancos sudah bersedia untuk menghadapi cabaran berkenaan dan mereka kini giat menjalani latihan penuh dan dalam masa yang sama pengendalinya tersebut memberi tumpuan untuk memastikan barisan pemain menikmati tugasan mereka.

Penyerang kelahiran itu berkata kepada Real Madrid TV: "Zidane berpesan supaya kami menikmati bola sepak. Kami mempunyai lebih banyak kontak dengan bola berbanding minggu lalu.

"Kami melakukan lebih banyak aktiviti kecergasan minggu lalu sehingga sekarang memandangkan kami semakin dekat dengan perlawanan LaLiga, kami lebih banyak berlatih menggunakan bola.

"Kami mneyesuaikan diri dengan sangat baik, selangkah demi selangkah. Ia situasi yang jauh lebih baik dapat berada di samping rakan sepasukan dan bola kerana adalah lebih sukar untuk melakukannya di rumah. Ia lebih menjurus kepada aktiviti gimnasium dan kecergasan.



"Dua bulan tanpa bola menjadikan keadaan lebih sukar apabila kami kembali tetapi keadaan kami baik-baik sahaja sekarang dan kami akan terus bekerjasama dengan bola. Contohnya, kami telah mengadakan perlawanan hari ini (semalam) dan ia sangat bagus buat semua orang.

"Kami tidak sabar-sabar lagi untuk kembali beraksi dan sangat penting untuk memenangi perlawanan. Perlawanan pertama menentang Eibar di tempat sendiri akan menjadi sangat penting. Jadi, kami akan memberikan yang terbaik hingga ke detik akhir."

Ketiadaan penyokong akan menjadi aneh bagi Madrid -- yang sudah biasa beraksi di depan sehingga 80,000 penyokong -- apatah lagi mereka perlu menggunakan pangkalan latihan di Castilla, Stadium Alfredo Di Stefano, yang berkapisiti 6,000 penyokong bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan di Santiago Bernabeu diteruskan.

Bagaimanapun, Benzema percaya pasukannya itu akan tetap berasakan kasih sayang daripada penyokong yang menonton perlawanan di rumah.

"Ia pasti berbeza," kata penyerang itu.

"Kami sentiasa memerlukan penyokong kami.

"Namun, kami akan mempunyai peminat kami di sini dan semoga mereka semua berada di depan televisyen untuk menyokong kami, itu saja.

"Kami tahu kami harus memenangi perlawanan kerana ini sangat penting bagi kami dan kelab, kami akan berada di tahap terbaik."