Pep Guardiola merupakan individu terhebat dalam taktikal tetapi teknik pengurusannya masih kurang dan Cristiano Ronaldo adalah pemain terbaik dunia, kata Medhi Benatia.

Benatia beraksi selama dua musim di bawah pengendali Manchester City itu sewaktu bersama Bayern Munich pada 2014 sehingga 2016.

Tempoh bek tengah berpengalaman itu di Munich terhenti susulan isu prestasi dan kecederaan tetapi dia tetap berupaya memenangi dua kejuaraan Bundesliga dan Piala Jerman.

Bercakap mengenai beraksi di bawah bimbingan Guardiola, Benatia memberitahu Goal bahawa terdapat elemen positif dan negatif.

"Secara taktikal, dia jurulatih terbaik dunia dan saya tidak melihat sesiapa lebih hebat daripadanya," katanya.

"Namun, saya tidak gemar dengan hubungannya bersama pemain, dia tidak membuatkan saya teruja.

"Saya bermula dengan baik, menjadi pemain menerima bayaran tertinggi dalam sejarah Bundesliga dan dinobatkan selaku pertahanan terbaik Serie A.

"Faktor kepada kepuasan itu adalah mereka memilih saya Guardiola dan Karl-Heinz Rummenigge.

"Malangnya, kecederaan memberi kesan kepada saya dan sejujurnya, saya sangat rindukan Itali. Saya tidak menyesuaikan diri dengan baik dan selepas musim kedua yang rumit, saya lakukan segalanya untuk kembali ke Itali."


Benatia akhirnya kembali ke Serie A, saingan yang menyaksikan dia pernah mewakili Udinese dan Roma, sebelum menyertai Juventus secara pinjaman dan kekal secara tetap.

Guardiola sendiri pernah dikaitkan dengan jawatan di Juve tetapi Benatia percaya mereka telah memiliki pengurus hebat, Maurizio Sarri.

"Semestinya dia individu hebat tetapi pada pendapat saya, Sarri juga mempunyai idea hebat dalam bola sepak," tambahnya.

"Tahun ini tampak lebih rumit buat Juve tetapi perubahan sentiasa perlukan kesabaran. Tidak dilupakan bahawa kami sedang bercakap mengenai pasukan yang berada di landasan terbaik untuk memenangi segalanya.

"Saya tidak fikir ia waktu terbaik untuk bercakap mengenai jurulatih lain kerana The Bianconeri telah memiliki pengurus hebat."