Pemain pertahanan Jerman, Mats Hummels, berkata kejayaan di peringkat suku akhir Euro 2016 ke atas Itali merupakan detik besar, meskipun percaya pasukan kebangsaannya tidak menamatkan sebarang badi.

Skuad bimbingan Joachim Low memastikan kemaraan menerusi penentuan sepakan penalti 6-5 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Bordeaux pada Julai lalu, dengan Hummels muncul antara tonggak yang mengambil sepakan itu untuk Jerman mengesahkan kemenangan susulan kegagalan Matteo Darmian menyempurnakan sepakannya.

Kemenangan itu merupakan kejayaan pertama Jerman ke atas Itali dalam kejohanan besar, sekaligus memadam kekecewaan mereka dalam Piala Dunia 2006 dan separuh akhir Euro 2012.

Bercakap mengenai aksi persahabatan di antara kedua-dua pasukan di Milan, Hummels mengiktiraf ia kejayaan penting buat Jerman, namun tidak bersetuju bahawa rekod lampau akan memainkan peranan penting dalam pertemuan kali ini.

"Ia detik besar buat kami," katanya. "Bagi saya, ia bukanlah istimewa kerana saya jarang bermain menentang Itali. Saya tidak fikir kami telah memadamkan sebarang sumpahan.

"Perlawanan ini sesuatu yang istimewa. Kami mengharungi perlawanan yang mendebarkan ketika menentang Itali dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Ini adalah perlawanan kelima saya untuk menentang Itali. Ia sentiasa merupakan detik istimewa dan saya teruja."

Jerman melebarkan rekod tanpa kalah mereka kepada Azzurri dalam tiga pertemuan terakhir, namun Hummels tidak percaya mereka akan berdepan dengan tugas mudah kali ini.