Bekas presiden Barcelona, Josep Lluis Nunez, meninggal dunia pada usia 87 tahun, demikian diumumkan oleh juara bertahan LaLiga itu.

Nunez mula menduduki kerusi tertinggi Barca pada 1978, di mana dia melalui tempoh selama 22 tahun memegang status presiden paling lama dalam sejarah kelab.

Dia meraih pelbagai kejayaan di Barcelona, termasuk ketika Johan Cruyff kembali selaku ketua jurulatih pada 1988.

Cruyff menjadi watak utama dalam meraih empat kejuaraan liga berturut-turut sejak musim 1990-91 tatkala "Pasukan Impian" itu juga menjulang Piala Eropah 1992.

Kekalahan 4-0 di tangan AC Milan dalam aksi final Liga Juara-Juara Eropah 1994 menandakan bermulanya keruntuhan era kegemilangan Cruyff dan Nunez akhirnya memecat legenda Belanda itu.

Era Nunez juga menyaksikan kehadiran ramai bintang terkemuka seperti Diego Maradona, Michael Laudrup, Hristo Stoichkov, Romario, Ronaldo dan Rivaldo serta akademi La Masia diperkenalkan.

"Ia satu tempoh penting dalam sejarah kelab dengan perubahan besar terhadap bola sepak di dunia, terutama dalam aspek kewangan dan perhatian media," kata jurucakap Barcelona sebagai memberi penghargaan terhadap Nunez.

"Ia juga satu tempoh yang lama selaku presiden di waktu naik dan turun. Dia melaluinya sehingga membuatkan kelab muncul kuasa kewangan yang besar sambil menyokong pergerakan kelab penyokong Barca berdasarkan kepercayaan aspek sosial mampu mengubah pasukan menjadi lebih kompetitif di atas padang."

Seteru utama Barca, Real Madrid, turut memberikan penghormatan di atas berita itu.

"Real Madrid CF meratapi pemergian Josep Lluis Nunez, presiden Barcelona dari 1978 sehingga 2000. Pihak kelab menghulurkan simpati buat seluruh keluarga, rakan-rakan, kelab serta semua penyokong mereka," ujar jurucakap Madrid.

Pep Guardiola merupakan salah seorang bintang yang beraksi di bawah era Cruyff dan pengurus Manchester City itu turut mengeluarkan kenyataan mengenai kematian Nunez.

"Ia satu kehilangan besar. Nunez adalah presiden Barcelona untuk satu tempoh yang lama. Saya bersimpati, terutama buat seluruh keluarganya," kata Guardiola.