Perlawanan akhir kejohanan bola sepak antara daerah Piala Ketua Menteri Sabah yang bakal berlangsung esok menyaksikan dua pasukan bukan pilihan, Beaufort dan Kota Kinabalu, bertarung bagi menentukan kejuaraan.

Beaufort mengesahkan tiket ke final selepas menewaskan Keningau 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti, semalam.

Aksi yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu, itu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada masa sebenar permainan dan juga masa tambahan sehingga perlawanan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

Terdahulu di Stadium Universiti Sabah, Kota Kinabalu berjaya mara ke final selepas mengejutkan naib juara edisi lalu, Tawau, 3-2.

Kota Kinabalu lebih awal mendahului hasil jaringan Mohd Faqrurazi Ahmad seawal minit ketiga.

Tawau bagaimanapun pantas memadamkan gol awal itu menerusi jaringan penyamaan Mohd Noor Patuan pada minit ke-13 dan kedudukan 1-1 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Pada babak kedua, giliran Tawau berada 2-1 di hadapan menerusi jaringan Sahran Sahar pada minit ke-59 tetapi Kota Kinabalu juga pantas memberi respons dengan menyamakan kedudukan hasil jaringan Yuseddy Yusiman pada minit ke-63.

Mohd Syahmil Nizam Ikhbal kemudian muncul wira Kota Kinabalu, sekali gus mengesahkan tiket ke final buat pasukannya apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-73.

Perlawanan akhir dijadualkan berlangsung di Stadium Likas esok bermula jam 3 petang manakala penentuan tempat ketiga antara Keningau dan Tawau di Stadium Penampang pada sebelah pagi.