Bayern Munich menafikan laporan mengatakan pemain sayap, Franck Ribery, telah menandatangani kontrak baharu bersama gergasi Jerman itu sehingga Jun 2018.

Kontrak bekas pemain antarabangsa Perancis itu bakal berakhir hujung musim ini, namun pengerusi kelab, Karl-Heinz Rummenigge, baru-baru ini menyatakan bahawa mereka mahu menyambung kontrak pemain berusia 33 tahun itu secepat mungkin.

L'Equipe mendakwa perbincangan tersebut telah berlangsung dengan jayanya, dengan Ribery dikatakan telah menandatangani kontrak selama setahun.

Bagaimanapun, laporan tersebut dinafikan sekeras-kerasnya oleh Bayern.

"Laporan akhbar L'Equipe pada Khamis yang mengatakan Ribery telah menandatangani kontrak selama setahun adalah tidak betul," demikian kenyataan dimuat naik di laman sesawang rasmi kelab itu.

Ribery menyertai Bayern Munich dari Marseille pada tahun 2007 dan sejak itu telah membuat 300 penampilan buat pasukan gergasi Jerman itu.