Bayern Munich sedang membuat perancangan untuk Lionel Messi, tetapi Hansi Flick menyedari ancaman akan hadir daripada keseluruhan pasukan Barcelona dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara (UCL).

Bayern berdepan Barca di Lisbon awal pagi esok dalam aksi yang diharapkan oleh juara Bundesliga itu menang, selepas menampilkan aksi cemerlang sejak beberapa bulan yang lalu.

Tetapi The Blaugrana bakal dibarisi Messi, pemenang Ballon d'Or enam kali itu kelihatan berazam untuk menjuarai gelaran Eropah buat kali kelima, kali terakhir memenanginya pada 2015.

Namun Flick menegaskan Bayern bukan hanya memberikan tumpuan kepada Messi, malah kepada seluruh skuad Barcelona.

"Ia bukan perlawanan di antara Bayern Munich dan Messi, tetapi kami berdepan Barcelona. Sememangnya, kami telah menilai dan merangka cara permainan untuk berdepan Messi," katanya.

"Kami akan berusaha sebagai satu pasukan, mengenal pasti ruang, memberikan tekanan dan memastikan menang dalam situasi satu lawan satu."



"Messi bukan hanya satu-satunya pemain yang mampu menyerlah. [Gerard] Pique, [Antoine] Griezmann, [Ivan] Rakitic dan [Luis] Suarez antara pemain yang terbaik. [Marc-Andre] ter Stegen pula seorang penjaga gol bertaraf dunia.

"Mereka memiliki kualiti yang baik dan pengalaman, jadi kami perlu menampilkan permainan terbaik kami. Kami mempunyai perancangan dan berharap ia berhasil."