Bayern kritik gelagat penyokong sendiri 

Oleh Shaiful Shamsudin 1 Mac 2020 128
Bayern kritik gelagat penyokong sendiri 
HOFFENHEIM 0 BAYERN 5

Hansi Flick dan Karl-Heinz Rummenigge menyifatkan peminat Bayern Munich yang melancarkan protes terhadap pemilik Hoffenheim, Dietmar Hopp, sebagai "bodoh" selepas kemenangan 6-0 pendahulu Bundesliga itu dibayangi oleh insiden di bangku penonton.


Bayern meniti landasan untuk merangkul kejuaraan Bundesliga ketiga berturut-turut apabila menjarakkan diri dengan RB Leipzig menerusi kelebihan empat mata yang menyaksikan Philippe Coutinho melakar dua jaringan selain Serge Gnabry, Joshua Kimmich, Joshua Zirkzee dan Leon Goretzka masing-masing menyumbang satu gol selepas minit ke-62 permainan.

Namun, ketika baki 20 minit, perlawanan itu tergendala berikutan sepanduk dan ejekan yang ditujukan ke arah Hopp yang merupakan tokoh tidak popular di Jerman atas pelaburan di Hoffenheim.

Perlawanan itu akhirnya kembali bersambung selepas Flick bertindak menuntut penyokong sendiri agar menghentikan sorakan serta menurunkan sepanduk berkenaan.

Baki permainan itu juga menyaksikan kedua-dua pasukan sekadar saling bertukar hantaran. 

"Perkara yang berlaku ini tidak sepatutnya mempunyai tempat di sini," katanya sidang akhbar selepas perlawanan.

"Saya sendiri dibesarkan di rantau ini, saya mengenali Dietmar Hopp selama lebih 20 tahun.

"Saya hanya dapat memohon maaf atas apa yang terjadi di sini.

"Dia (Hopp) telah melakukan banyak kebaikan di sini bahkan orang-orang 'bodoh' yang menaikkan sepanduk itu setidak-tidaknya seorang daripada keluarga mereka pernah menerima bantuan daripada Dieter -- melalui penyelidikan kanser atau secara amnya melalui sokongan Hopp dalam penyelidikan perubatan. Mereka perlu kenang jasanya."

 
Selain Oliver Kahn dan Hasan Salihamidzic, Flick antara kontinjen Bayern yang pergi ke bahagian penyokong sendiri di Rhein-Neckar-Arena bagi membantah protes itu.

Sorakan serupa juga berlaku dalam kalangan penyokong Borussia Dortmund dalam kemenangan 1-0 ke atas Freiburg malam tadi hingga menyebabkan beberapa penyokong mereka diharamkan daripada berkunjung ke gelanggang Hoffenheim selama dua musim.

Selepas kemenangan Bayern itu, pengerusi kelab, Rummenigge, berdiri di atas padang di samping Hopp dan kedua-dua pasukan bagi menunjukkan perpaduan.

"Saya sangat malu tentang perkara seperti ini," kata Rummenigge dalam petikan yang diterbitkan di laman sesawang Bayern.

"Saya harus mengatakan: Pada hari ini, saatnya sudah tiba apabila seluruh keluarga Bundesliga, DFB dan DFL bergabung dan bertindak terhadap penyokong-penyokong bodoh seperti ini.

"Sisi gelap bola sepak tercetus lagi di sini pada hari ini. Saya berasa sangat malu bagi mewakili Dietmar Hopp, yang merupakan seorang lelaki yang amat dihormati selepas sumbangannya tidak terhad kepada bola sepak semata-mata, malah sukan di seluruh negara.

"Saya juga meminta maaf kepadanya, namun apa yang telah berlaku tidak boleh diabaikan. Ini adalah salah satu sisi buruk di Bayern sedangkan hari ini kami mempamerkan prestasi hebat. 

"Segala-galanya telah dirakam dan kami akan mengambil tindakan yang tegas terhadap mereka yang perlu bertanggungjawab hingga mencemarkan nama FC Bayern ."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen