Joshua Kimmich tidak mengalami kecederaan serius dan akan kembali beraksi awal tahun depan selepas dikeluarkan ketika Bayern Munich menewaskan Borussia Dortmund 3-2 awal pagi semalam.

Terdapat kebimbangan pemain itu akan berehat lebih panjang selepas mengalami kecederaan lutut ketika membentes Erling Haaland dalam perlawanan Klassiker itu.

Pemain tengah serba boleh itu dipapah keluar padang dan enggan memberikan komen mengenai kecederaannya sebelum ketua jurulatih, Hansi Flick, mengakui kehilangan Kimmich merupakan satu kerugian besar buat pasukannya.

Bagaimanapun, Bayern mendedahkan awal pagi tadi bahawa pemain itu mengalami kecederaan lateral meniscus dan telah menjalani pembedahan.

Dia tetap berehat panjang tetapi berdasarkan pasukan perubatan Bayern, ia hanya sehingga Januari ini.

Pengarah Kesukanan Bayern, Hasan Salihamidzic, menambah: "Kami gembira kerana Joshua akan kembali bersama kami dalam beberapa minggu yang akan datang.

"Kami akan memberikannya sokongan terbaik sepanjang tempoh pemulihannya."