Pengurus Bayern Munich, Hansi Flick, ingin melihat kemampuan Leroy Sane yang lebih besar sambil mengakui penyerang itu memerlukan masa.

Sejak menyertai Bayern daripada Manchester City dengan harga €45 juta (RM183.1j), Sane telah menyumbat lima gol dan memberikan dua bantuan jaringan dalam sembilan perlawanan.

Penyerang itu terlepas hampir sepanjang musim 2019-20 bersama City selepas ditimpa kecederaan ligamen lutut (ACL).

Walaupun Flick bersemangat untuk melihat Sane bertambah baik, dia juga bersedia untuk bersabar dengan pemain berusia 24 tahun itu yang baru pulih daripada kecederaan.

"Dia 100 peratus cergas. kelincahannya hebat," katanya dalam sidang akhbar.

"Tetapi seperti pemain lain, dia beberapa kali tidak perlu kehilangan bola ketika menentang Salzburg dan dalam beberapa keadaan, dia tidak menghambat satu lawan satu. Ada sebab untuk itu dan kami akan membincangkannya. Lain kali dia akan berusaha untuk buat yang lebih baik lagi.

"Apabila dia muncul di lapangan, dia menciptakan dinamik tertentu untuk pasukan, dia meningkatkan persembahan kami. Dalam beberapa perlawanan terakhir, dia sering melakar gol apabila dimasukkan. Itulah yang membuatkannya menonjol dan dia mempunyai kualiti berkenaan.



"Jelas sekali dia masih memerlukan masa selepas tercedera lama dan dia akan menikmatinya. Dia bekerja keras dalam latihan.

"Kami senang dengannya tetapi paling penting sebaik dia memulakan permainan, dia mampu memberikan 100 peratus. Kami sedang mengusahakannya."

Dalam enam perlawanan Bundesliga, dia diturunkan sebanyak tiga kali .

Bekas pemain Schalke itu juga telah mencipta empat peluang terbuka apabila hanya Thomas Muller (enam), Serge Gnabry, Admir Mehmedi dan Raphael Guerreiro (lima) mencipta lebih banyak peluang daripadanya.

Namun, peratusan dia memanfaatkan peluang terhidang adalah 50 peratus sementara dia hanya menyempurnakan tujuh daripada 20 percubaan menggelecek.

Di puncak Bundesliga satu mata, Bayern akan mengunjungi Stuttgart malam ini.