Pengurus Bayern Munich, Jupp Heynckes, merancang untuk mengekang Paris Saint-Germain (PSG) dan Neymar dengan cara yang sama seperti ketika berdepan Barcelona dan Lionel Messi pada 2013.

Juara Bundesliga itu memusnahkan Barca dalam separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL), empat tahun lalu, apabila menang 4-0 di Allianz Arena sebelum memuktamadkan kemaraan dengan kemenangan 3-0 di Camp Nou untuk menjulang trofi itu.

Heynckes kembali menerajui Bayern sejurus PSG mengalahkan mereka 3-0 pada Oktober lalu sehingga mendorong kepada pemecatan Carlo Ancelotti.

Pengurus berusia 72 tahun itu berharap pasukannya mampu menghasilkan prestasi yang jauh lebih baik pada awal pagi esok sambil menegaskan jentera pertahanan akan menjadi tunjang kepada mereka untuk menyekat trio serangan PSG, Neymar, Kylian Mbappe dan Edinson Cavani.

"Ia hanya mungkin secara kolektif," katanya dalam sidang akhbar. "Saya tahu Neymar dengan baik kerana saya sering menonton aksi Barcelona dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

"Dia pemain yang gemar menggelecek, dia berbahaya, kreatif dan suka terlibat dalam permainan.

"Mbappe berusia 18 tahun dan apa yang dimilikinya adalah luar biasa.

"Kami akan cuba menyelesaikan perkara ini sebagai satu usaha kolektif, bukan mudah melawan Messi dan (Andres) Iniesta pada 2013, namun mereka juga manusia dan penyerang kami tidak begitu buruk, pertahanan lawan juga harus memikirkan untuk menyekat mereka."

Bayern telah menjamin tempat dalam pusingan 16 bersama-sama PSG dan hanya akan menduduki puncak kumpulan jika mereka mencatat kemenangan dengan empat gol.

Sementara itu, pemain sayap, Kingsley Coman, percaya kemampuan mereka memadam kekalahan sebelum ini akan memberi mesej jelas kepada pencabar-pencabar UCL.

"Saya tidak berasakan ia mengenai soal peribadi dengan PSG , bagaimanapun ia akan menghantar mesej kepada Eropah bahawa kami mahu memenangi UCL," katanya dalam sidang akhbar.