CHELSEA 0 VALENCIA 1

Frank Lampard mengesahkan Ross Barkley tetap merupakan pemain yang bertanggungjawab untuk mengambil sepakan penalti buat Chelsea susulan kegagalan pemain antarabangsa England itu menyempurnakannya dalam kekalahan 1-0 kepada Valencia dalam Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.


Lampard muncul sebagai pengurus sulung Chelsea yang tewas dalam aksi pembukaan UCL apabila gol Rodrigo Moreno dalam separuh masa kedua menghadiahkan kemenangan pertama buat Albert Celades sebagai pengurus Valencia.

The Blues berpeluang untuk menyelamatkan maruah mereka dalam aksi di Stamford Bridge itu apabila pengadil, Cuneyt Cakir, menggunakan video bantuan pengadil (VAR) selepas mendapati Daniel Wass secara sengaja menampan tandukan Fikayo Tomori dengan tangan.

Pemain gantian, Barkley, dilihat sempat berbalah dengan Willian dan Jorginho untuk mengambil tugasan berkenaan yang akhirnya melewati palang.

Begitupun, Lampard mengesahkan pemain tengah tersebut -- yang menggalas tugas itu sepanjang musim lalu -- masih merupakan pilihan utama untuk menyempurnakan tendangan dari jarak 12 ela itu.

"Ross adalah penyepak utama penalti kami. Dia menyempurnakannya beberapa kali dalam kempen pramusim lalu, termasuk ketika dimasukkan sebagai pemain gantian," kata Lampard dalam sidang akhbar.

"Hari ini selepas dimasukkan, dia gagal menyumbatnya. Itulah kisah sebenarnya.

"Saya tidak tahu apa perbualan (antara mereka). Jorginho dan Willian merupakan pemain yang akan menggalas tanggungjawab itu tetapi dengan kehadiran Ross di atas padang, dia akan melakukannya dan kali ini dia gagal."

Skuad bimbingan bekas pemain tengah itu mendominasi aksi pembukaan Kumpulan H itu, namun benteng mereka dihukum Rodrigo yang menyambung sepakan percuma Dani Parejo.

Bagaimanapun, pengurus Chelsea tersebut percaya juara Liga Europa musim lalu itu lebih berhak merakam kemenangan.

"Kami seharusnya menang atau sekurang-kurangnya seri. Kami telah mencipta peluang menarik yang memadai," katanya, yang pasukannya juga bakal menghadapi Ajax dan Lille.

"Kami melepaskan gol dalam satu-satunya percubaan tepat lawan dalam satu permainan yang kami tampil dengan baik tetapi mengalami kekalahan. Sudah tentulah kekalahan pertama ini adalah perit, lebih-lebih lagi di tempat sendiri.

"Satu perlawanan sudah pun diharungi dan masih ada baki perlawanan lagi. Kumpulan ini terbuka dan kami saling berpeluang untuk meraih mata memandangkan semua pasukan adalah mantap.

"Tiada sebab untuk kami berasa terlalu kecewa ketika ini dan dalam masa sama, kami perlu memenangi perlawanan."

Kemenangan itu datang tepat pada masanya buat Valencia yang berdepan dengan masalah di luar lapangan berikutan pemecatan Marcelino minggu lalu sehingga tidak disenangi pemain skuad itu.

Pengurus yang menggantikannya, Celades, bagaimanapun tidak merancang untuk melakukan perubahan besar tentang gaya permainan anak buahnya selagi sistem itu berfungsi.

"Saya tidak mempunyai ego tentang hal itu. Saya mahu menggalas tugasan ini, tiada penyesalan dan melakukan yang terbaik," katanya dalam sidang akhbar.

"Kami tidak mempunyai banyak masa untuk berlatih, kami tidak mahu kehilangan banyak perkara yang baik. Saya menghormati semua orang tetapi saya mahu bercakap mengenai bola sepak.

"Kami perlu memberi tumpuan kepada masa depan, ia adalah kemenangan yang sengit dan sukar. Bermain dalam UCL merupakan sesuatu yang diperoleh pemain dan mereka menunjukkan komitmen tinggi dan kami seharusnya bangga."