Real Madrid buat kali pertama tidak dapat menjaringkan gol di gelanggang luar dalam aksi LaLiga di bawah bimbingan Zinedine Zidane apabila seri 0-0 menentang musuh setempat Atletico Madrid di Wanda Metropolitano, awal pagi tadi.

Pelawat bergelut untuk mencipta peluang dalam kebuntuan kedua musim ini dan yang pertama di laman luar sepanjang 35 perlawanan dalam liga utama Sepanyol.

Zidane akan memberi perhatian terhadap prestasi Karim Benzema dan Cristiano Ronaldo, dengan gandingan itu kini hanya menjaringkan dua gol daripada gabungan 16 penampilan liga musim ini.

Selain ketinggalan 10 mata daripada Barcelona -- jurang yang tidak pernah diatasi oleh mana-mana pasukan dalam perlumbaan merebut LaLiga -- kebuntuan itu bermakna skuad Los Blancos kurang 11 gol berbanding skuad Ernesto Valverde dalam 12 perlawanan.