ASTANA 2 MANCHESTER UNITED 1

Ole Gunnar Solskjaer berpendapat kekurangan pengalaman menyebabkan barisan muda yang diturunkan Manchester United tewas 2-1 di tangan Astana tetapi dalam masa sama, tetap menemui beberapa elemen meyakinkan.


Jesse Lingard diberi lilitan kapten -- dalam kesebelasan utama yang menampilkan tiga penampilan sulung dan tujuh pemain muda -- sebelum memberikan United pendahuluan tatkala kemaraan daripada Kumpulan L telah disahkan sebelum ini.

Dmitriy Shomko menyamakan kedudukan selepas Tahith Chong melepaskan peluang keemasan dan salah seorang pemain yang menikmati penampilan sulung di pentas senior, Di'Shon Bernard, bernasib malang apabila menjaringkan gol sendiri dan memberikan skuad kendalian Roman Grygorcuk itu mata penuh.

"Prestasi sangat bagus. Kami sentiasa beraksi dengan baik dan dalam tempoh singkat, kami membiarkan lawan melakukan serangan sehingga memberi kesan kepada pasukan," katanya.

"Dalam tempoh 10 minit babak kedua, saya fikir anda boleh lihat mereka berkembang dalam perlawanan. Itu yang anda mahukan pemain ini belajar daripada aksi ini.

"Mungkin perlahankan rentak selama dua minit dan susun semula permainan tetapi kami mempunyai beberapa peluang dan ada antaranya sangat cemerlang, termasuk mereka yang tampil buat kali pertama.

"Anda perlu turunkan mereka sebelum mengetahui sama ada mereka bagus atau tidak. Pemain yang meraih penampilan pertama seperti Di'Shon, Ethan Laird dan Dylan Levitt sangat cemerlang."

Pengurus United, Solskjaer, juga menyatakan rasa simpati buat bek tengah berusia 19 tahun, Bernard.

"Itu adalah satu-satunya langkah salah yang dilakukannya walaupun sebelum itu, dia langsung tidak melakukan kesilapan. Kadangkala ia berlaku dalam bola sepak. Saya fikir dia sangat cemerlang," katanya.

"Pemain yang diturunkan telah membuatkan saya berfikir dan saya teruja dengan kebanyakan daripada mereka.

"Ia satu kumpulan yang padat dan kesemuanya tampil cemerlang. Saya cuma berasa kasihan mereka tidak dapat pulang dengan kemenangan kerana bagi saya, mereka berhak meraihnya."

United akan mara selaku juara kumpulan jika dapat mengelak kekalahan dalam aksi terakhir menentang AZ bulan depan.