Barcelona menolak rancangan untuk beraksi di Miami bagi perlawanan LaLiga menetang Girona.

Berdasarkan perjanjian 15 tahun di antara liga divisyen utama itu dengan Relevent Sport, Barca dicadangkan untuk menentang Girona di Stadium Hard Rock, Miami, Amerika Syarikat (AS), bulan depan.

Namun, percancangan LaLiga itu mendapat tentangan secara terbuka daripada Persatuan Bolasepak Diraja Sepanyol (RFEF) dan Persatuan Pemain Bolasepak Sepanyol (AFE).

Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, memaklumkan pada Oktober lalu, pihaknya akan menyekat segala usaha membawa perlawanan LaLiga ke AS walaupun presiden liga itu, Javier Tebas, secara berterusan menghantar cadangan berkenaan kepada badan induk itu.

Barca menerusi satu kenyataan rasmi malam tadi, menyatakan mereka tidak lagi berminat untuk berdepan Girona di Miami kerana kurangnya sokongan terhadap idea itu.

Bagaimanapun, gergasi Catalan itu tidak menolak untuk perkara itu terjadi andai ia mendapat sokongan pelbagai pihak.

"Lembaga Pengarah Barcelona telah bersetuju untuk menarik balik cadangan aksi berdepan Girona dijalankan di Miami setelah mendapati kekurangan sokongan terhadap cadangan itu.

"Bagaimanapun, FC Barcelona tetap bersedia untuk bermain di Miami andai keuntungan daripada perlawanan itu dibahagikan kepada semua pasukan Liga Primera dan Segunda, termasuk pembahagian hak penyiaran televisyen.

"Kami menganggap projek ini tidak akan berjaya sehingga mendapat persetujuan daripada kesemua pihak," kata kenyataan berkenaan.