Pengendali Barcelona, Ernesto Valverde, menegaskan bahawa dia tidak akan meletakkan sebarang risiko ke atas bintangnya, Lionel Messi, selepas penyerang itu patah tangan, bulan lalu.

Messi tidak terlibat dalam sebarang perlawanan sejak dia dikeluarkan ketika Barca menundukkan Sevilla 4-2, 20 Oktober lalu.

Bagaimanapun, Velvarde membawanya ke Milan menjelang aksi bertemu Inter Milan dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi nanti.

Barca sebelum ini memenangi kesemua empat perlawanan tanpa penglibatan Messi, termasuk kemenangan 2-0 ke atas Inter dan 5-1 ke atas seteru utama, Real Madrid, dalam saingan LaLiga.

"Leo dalam keadaan mampu bermain, namun kami perlu menunggu lagi. Ia bergantung kepada sesi latihan.

"Sudah pasti kehadirannya dapat memudahkan pemilihan pemain kami, namun apa yang lebih penting adalah proses pemulihannya," kata Valverde dalam sidang media.

Gergasi Catalan itu akan menjadi pendahulu baru Kumpulan B andai mampu menundukkan Inter di San Siro.

Bagaimanapun, Valverde sedar akan saingan sengit yang akan diberikan skuad kendalian Luciano Spalletti itu.

"Sememangnya melegakan untuk berada dalam kedudukan ini selepas empat perlawanan. Namun, kami tidak akan mengambil sebarang risiko.

"Kami sudah bersedia menentang mereka kerana kami mahukan kemenangan.

"Kami perlu menguasai permainan dan menjaringkan gol. Mereka juga sudah pasti mahukan perkara sama, jadi kami perlu menyerang.

"Inter mempunyai intensiti yang baik. Mereka akan cuba menguasai permainan dan melakukan tekanan.

"Disebabkan itu mereka mempunyai rekod yang baik musim ini. Namun, kami sudah sedia menghadapi mereka," katanya lagi.