Barcelona telah bersetuju untuk menghantar Philippe Coutinho secara pinjaman ke Bayern Munich, kata jurucakap kelab LaLiga itu, Guillermo Amor.

Coutinho berhijrah ke Camp Nou menerusi yuran perpindahan EUR160 juta (RM741 juta) daripada Liverpool pada Januari tahun lalu tetapi bergelut untuk mengekalkan prestasi sewaktu di Anfield.

Pemain Brazil itu dikatakan menjadi senjata buat Barca dalam usaha untuk mendapatkan semula bekas penggempur, Neymar, daripada Paris Saint-Germain (PSG).

Bagaimanapun, Bayern muncul pilihan untuk mendapatkan khidmat Coutinho dan Amor, ketika bercakap kepada Movistar+ menjelang aksi pembukaan LaLiga menentang Athletic Bilbao awal pagi tadi yang berakhir dengan kekalahan mengejut 1-0, mengesahkan perpindahan itu akan dilengkapkan tidak lama lagi.

"Pihak kelab mengesahkan perjanjian telah dicapai untuk meminjamkan Coutinho ke Bayern," katanya.

Ketibaan Coutinho akan membantu Bayern menampung ketiadaan Franck Ribery dan Arjen Robben yang meninggalkan pasukan sambil Ivan Perisic akan tiba secara pinjaman daripada Inter Milan minggu ini.

Pemain sayap Manchester City, Leroy Sane, menjadi sasaran kelab Bundesliga itu tetapi usaha mereka terhenti susulan kecederaan lutut yang dialami pemain Jerman itu.

Perjanjian Barca untuk meminjamkan Coutinho juga akan memberi kesan kepada usaha mereka untuk mendapatkan khidmat Neymar tatkala sebelum ini skuad kendalian Ernesto Valverde itu bercadang untuk melakukan bidaan berserta seorang pemain.