Barcelona tidak berupaya membeli Memphis Depay berikutan kekangan kewangan bagi mengimbangi krisis COVID-19, kata Presiden Lyon, Jean-Michel Aulas.

Laporan mengatakan Depay akan meninggalkan Lyon dan kembali bekerjasama dengan Ronald Koeman, yang baru dilantik sebagai pengurus baru di Camp Nou.

Penyerang itu tampak bersedia untuk berkelana ke Sepanyol dalam kesepakatan yang menelan belanja sekitar €25-30 juta (RM122.3- 146.8j).

Namun, rundingan itu sudah pun berakhir apabila Aulas mendedahkan Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu, secara peribadi mengakui kepadanya bahawa raksasa Catalan berkenaan tidak mampu membuat sebarang tawaran.

Dalam mesej di Twitter, Aulas memetik suratkhabar Belanda, De Telegraaf, yang melaporkan perpindahan bernilai €30 juta (RM 48.9j) ke atas pemain berusia 26 tahun itu sedang giat diusahakan.

Aulas menulis: "Ahad lalu, presiden Barca menunjukkan kepada saya pada bahawa mereka menanggung penderitaan perit ketika krisis COVID-19 ini dan tidak memiliki sebarang kemungkinan untuk membuat tawaran ke atas #Memphis."

Bartomeu baru-baru ini mengatakan bahawa kelab wilayah Catalunya itu kerugian hampir 30 peratus daripada jumlah pendapatan mereka ekoran pandemik berkenaan yang mungkin mencecah €300j (RM1.4 bilion).

Menurut statistik Opta, Depay merekodkan 46 gol dalam 103 perlawanan Ligue 1 bersama kelab Perancis itu sejak tiba dari Manchester United pada Januari 2017.