REAL SOCIEDAD 1 BARCELONA 1

Luis Enrique berkata Barcelona meraih keajaiban selepas berjaya meraih satu mata ketika seri 1-1 dengan Real Sociedad dalam aksi LaLiga.


Juara Sepanyol itu memungut satu mata selepas Lionel Messi menidakkan gol pembukaan Willian Jose di Anoeta.

Sociedad berpeluang untuk menjaringkan lebih banyak gol apabila dua percubaan Carlos Vela terkena palang manakala jaringan Juanmi telah dibatalkan kerana berada di kedudukan ofsaid manakala Barca mempamerkan aksi yang buruk musim ini dengan hanya dua percubaan tepat ke arah pintu gol lawan.

Enrique berpendapat pasukannya berhak tewas dalam perlawanan ini.

"Jika saya lihat kepada keputusan perlawanan ini, kami menemui keajaiban untuk meraih satu mata. Real Sociedad telah memberikan yang terbaik dalam perlawanan ini," kata Enrique.

"Kami tidak mampu untuk melakukan hantaran lebih daripada lima kali, tanpa bola permainan kami kelihatan goyah.

"Mereka memberikan tekanan kepada kami dengan enam pemain dan kami gagal mencari peluang untuk melakukan hantaran jauh."

Sementara itu, Gerard Pique memberitahu Movistar Plus, Barca tidak memiliki harapan untuk mempertahankan gelaran musim ini jika mengulangi prestasi sebegini tetapi Enrique berasakan ulasan pertahanan itu hadir kerana mereka gagal memberikan yang terbaik.

"Saya memahami temubual selepas perlawanan sangat berbahaya.

"Berputus asa dalam perlawanan minggu ke-13 adalah keterlaluan buat saya."

Barca bakal menghadapi El Clasico dengan perbezaan enam mata kepada pendahulu liga, Real Madrid. Enrique berjanji kepada penyokong untuk mempamerkan aksi yang lebih baik.

"Kami perlu memperbaiki persembahan kami. Kami telah mempamerkan aksi terburuk kami dan kami akan memastikan aksi yang berbeza ketika bertemu Real Madrid.

"Ia merupakan pertembungan yang sangat penting."