Gareth Bale telah banyak berbakti kepada Real Madrid dan masih kekal sebagai 'bakat bertaraf dunia', menurut bekas jurulatih, Juande Ramos.

Pemain kebangsaan Wales itu kembali ke Tottenham minggu lalu menerusi pinjaman, tujuh tahun selepas meninggalkan kelab London itu untuk berhijrah ke Sepanyol.

Dia telah memenangi 13 gelaran di Santiago Bernabeu, termasuk empat Liga Juara-Juara (UCL) tetapi bergelut untuk mendapatkan tempat selepas musim lalu.

Real memberikan penghargaan berikutan penghijrahan Bale dan Ramos mencadangkan pemain 31 tahun itu berhak diberikan penghormatan.

"Dia seorang pemain yang saya minati," kata Ramos, yang melatih penyerang Tottenham itu dan menguruskan Real selama enam bulan, memberitahu Radio Marca.



"Saya berasakan dia telah banyak berikan kepada Real Madrid. Kemampuannya dan sentuhan magis kaki kirinya. Seorang pemain yang boleh diharap dan bakat yang bertaraf dunia."

Bale menjaringkan 105 gol dan melakukan 57 bantuan jaringan dalam 251 penampilan bersama Real namun sekadar turun 20 kali musim lalu selepas tidak lagi menarik perhatian pengendali pasukan, Zinedine Zidane.

"Dalam Real mereka mengetahui apa masalah yang dia hadapi bersama Zidane," katanya. "Tetapi saya pasti dia memiliki kisah yang tersendiri."