Jurgen Klopp berasakan tujuh pemain Liverpool yang tercalon bagi merebut anugerah Ballon d'Or layak untuk berada dalam senarai itu walaupun dia tidak memiliki sebarang perasaan peribadi terhadap pencapaian individu pemainnya.

Virgil van Dijk, Mohamed Salah, Sadio Mane, Alisson, Trent Alexander-Arnold, Roberto Firmino dan Georginio Wijnaldum tersenarai dalam kalangan 30 pemain yang diumumkan semalam.

Ia susulan kejayaan Liverpool menjuarai Liga Juara-juara Eropah musim lalu selain muncul naib juara Liga Perdana Inggeris di belakang Manchester City.

Bercakap dalam sidang media menjelang perlawanan menentang Genk dalam Liga Juara-Juara awal pagi esok, Klopp tidak berasa ragu-ragu dengan kemampuan barisan bintangnya itu untuk disenarai pendek dalam anugerah tahunan itu.

"Ia amat baik, saya tidak faham dan tidak terlalu tahu mengenai perkara seperti itu.

"Apabila anda menang, ia sesuatu yang besar tetapi jika anda tidak menang, harap-harap ia tidak akan menjejaskan anda.

"Ia petanda yang baik tetapi selepas musim lalu, adalah normal untuk ramai pemain kami tercalon.

"Secara umumnya, saya 100 peratus bangga dengan pemain kami, namun saya tidak berasa bangga buat ketika ini.

"Saya gembira apabila mereka memenangi anugerah. Saya tidak pasti sama ada saya perlu berbangga dengan momen seperti ini.

"Saya tiada kena-mengena dengannya.

"Saya berbangga dengan cara permainan kami tetapi hanya setakat itu," katanya.

Klopp juga tidak pasti sama ada kejayaan Liverpool dalam pencalonan itu akan menarik perhatian ramai pemain terbaik dunia untuk menyertai mereka.

Namun, dia menegaskan tiada pemain Liverpool yang akan meninggalkan Anfield dalam masa terdekat.

"Kesemua tujuh pemain kami layak dicalonkan.

"Jika ia satu petanda bahawa kami selepas ini akan menjadi destinasi pilihan pemain, saya tidak tahu.

"Kami selesa sesama sendiri dan mahu bekerjasama untuk beberapa tahun akan datang atau mungkin lebih lagi.

"Tetapi kami tidak tahu, kita akan lihat apa yang akan berlaku," tambahnya.

Liverpool menduduki tangga kedua Kumpulan E selepas tewas kepada Napoli dan menewaskan Salzburg.

Walaupun mara ke final buat dua musim berturut-turut, The Reds hanya memenangi satu daripada enam perlawanan peringkat kumpulan di gelanggang lawan sejak Klopp mengambil alih pasukan.

Pengurus itu sedar rekod buruk tersebut perlu diperbaiki.

"Musim lalu, kami bertuah kerana kumpulan itu amat sukar dan kami masih dapat melepasinya biarpun tewas perlawanan di gelanggang lawan.

"Ia tidak akan berlaku lagi musim ini.

"Kami tidak bergantung kepada perlawanan di tempat sendiri tetapi malam perlawanan Eropah di Anfield amat istimewa.

"Bagaimanapun, pasukan lain juga mampu menghasilkan suasana luar biasa.

"Kami boleh memenangi perlawanan di laman lawan, kami beraksi baik, namun atas beberapa sebab, kami tidak menang.

"Kami sedar kami perlu memperbaikinya dan terus mencuba hingga berjaya," tambahnya lagi.