Atlet di bawah program berprofil tinggi dan juga bola sepak negara bakal menerima suntikan dana luar biasa selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mengumumkan peruntukan lebih RM1 bilion yang turut menyaksikan program akar umbi dijangka mengalami lonjakan dalam misi melahirkan lebih ramai juara dunia.

Pengumuman itu dibuat Najib dalam pembentangan Bajet 2018 di Dewan Rakyat, sebentar tadi dengan berkata: "Peruntukan itu meliputi program FitMalaysia, Hari Sukan Negara, latihan atlet, program akar umbi dan program pembangunan bola sepak negara.

“Kerajaan turut mengumumkan pembinaan 14 kompleks sukan baru di seluruh negara yang membabitkan kos bernilai RM112 juta.

“Dalam masa sama, kerajaan turut berbesar hati untuk mengumumkan peruntukan sebanyak RM20j kepada Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) untuk menambah baik kemudahannya sebagai sekolah sukan utama," katanya.

Pengumuman itu disambut baik oleh Institut Sukan Negara (ISN) dalam usaha negara memperkasakan perancangan dan penambahbaikan, terutama dalam merealisasikan matlamat untuk meraih pingat emas pertama dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr Mohd Khairi Zawi berkata: " Bajet 2018 ini sebenarnya telah memadai dengan telah mengambil kira keseluruhan aspek Program Podium dan akar umbi. Ia juga membenarkan kita untuk menggunakan teknologi yang lebih tinggi dan canggih untuk memastikan atlet negara setanding dengan yang dinikmati negara maju."

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri dengan berkata: "Seperti yang kita sedia maklum, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, telah melakukan transformasi terhadap sukan negara dengan mewujudkan model pembangunan sukan yang baru.

"Pada ketika ini, fokus kami adalah meneruskan momentum prestasi kontinjen negara ke arah Sukan Komanwel dan Sukan Asia yang lebih besar daripada Sukan SEA untuk mendapat pingat emas pertama dalam Sukan Olimpik 2020."

Dalam perkembangan sama, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berharap bajet mewah ini mengutamakan dua temasya besar tahun depan, iaitu Sukan Komanwel dan Sukan Asia, bagi meneruskan momentum cemerlang atlet negara.

Setiausaha Agung MOM, Datuk Low Beng Choo, percaya bajet 2018 banyak disumbangkan menerusi kejayaan Malaysia menjuarai temasya KL2017 dan naib juara Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur.

Oleh itu, katanya, pencapaian di Gold Coast dan Jakarta nanti akan menentukan kesinambungan pencapaian cemerlang atlet negara menuju Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Kami menjangkakan penglibatan dari 150 hingga 200 atlet untuk Sukan Komanwel, begitu juga Sukan Asia selain bergantung kepada sukan berpasukan.

"Atlet yang terpilih ini perlu menaikkan tahap prestasi mereka kerana mereka akan bertanding dengan jaguh-jaguh dunia yang lain," ujar Beng Choo.