Pemain tengah berpengaruh dari Kedah, Baddrol Bakhtiar, mampu menjadi penyelesaian kepada dilema ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, apabila dipanggil menjadi sebahagian 26 pelatih menjelang pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Baddrol terpaksa menanti selama dua tahun untuk menyarung semula jersi kebangsaan selepas kali terakhir beraksi ketika menentang Hong Kong dalam perlawanan persahabatan di bawah kendalian Nelo Vingada.

Perebutan menarik di bahagian tengah untuk skuad kebangsaan kali ini apabila Baddrol akan bersaing dengan beberapa arkitek tengah prolifik seperti pemain Pahang, Nor Azam Azih, dan tonggak Perak, Brendan Gan.

Namun, Baddrol, yang mempunyai pengalaman selama sedekad bersama skuad kebangsaan, yakin mampu menawarkan alternatif terbaik buat Cheng Hoe untuk mencetus kreativiti bahagian tengah.

"Saya berterima kasih kepada jurulatih kerana masih percaya. Jadi, dengan panggilan kali ini, saya akan berikan yang terbaik untuk skuad kebangsaan," katanya.

Turut sama membanggakan kem Lang Merah itu adalah Farhan Roslan yang menjadi salah seorang daripada tiga pemain yang dipanggil untuk pemilihan skuad kebangsaan kali ini dan menamatkan penantian tiga tahun untuk kembali menyarung jersi kebangsaan di peringkat senior.

"Semusim saya tidak beraksi. Jadi, tahun ini saya diberi kepercayaan dan akhirnya momentum permainan kembali ditemui," katanya.

Sementara itu, antara nama baru dalam skuad yang mencetus keterujaan peminat bola sepak tanah air adalah kehadiran perancang Johor Darul Ta'zim (JDT) Afiq Fazail.

Sentimen sama dizahirkan jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim, yang berpandangan Afiq tidak akan tenggelam dengan tuntutan untuk menyinar buat skuad kebangsaan.

"Afiq bermain dalam satu kumpulan yang boleh dikatakan elit di Malaysia, jadi saya rasa tiada masalah. Malah, dia pernah beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL). Apa yang menghairankan saya, mengapa sekarang baru dipanggil, itu sahaja," ujar bekas pengendali Terengganu itu.

Bagaimanapun, dia menegaskan anak buah Cheng Hoe perlu memburu mata penuh apabila menerima kunjungan Thailand dan Indonesia dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 14 dan 19 November ini.

"Kita perlu dapatkan tiga mata berdepan Thailand, lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri. Kita mahu dapatkan kelompok tiga terbaik. Walaupun Thailand beraksi baik ketika berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE), mungkin Cheng Hoe memiliki perancangan tersendiri," tambah Irfan.