Aubameyang, Dortmund setuju berpisah

Oleh Penulis Jemputan 12 Oktober 2017 10072
Aubameyang, Dortmund setuju berpisah
Penyerang Borussia Dortmund, Pierre-Emerick Aubameyang, mendedahkan bahawa persetujuan telah dicapai untuknya meninggalkan pasukan ketika jendela perpindahan musim panas, Julai lalu.

Aubameyang menamatkan musim lalu selaku penjaring terbanyak Bundesliga dan dikaitkan dengan perpindahan ke AC Milan dan Liga Super China, namun dalam masa sama menyatakan hasratnya untuk menyertai Real Madrid.

Julai lalu, Pengarah Sukan Dortmund, Michael Zorc, menyifatkan tempoh masa untuk perpindahan buat pemain berusia 28 tahun itu tidak ditetapkan.

Bagaimanapun, Aubameyang kekal bersama skuad yang mendapat sentuhan pengurus baru, Peter Bosz, dan setakat ini telah menjaringkan 13 gol dalam kesemua kejohanan.

"Ketika musim perpindahan lalu, segala-galanya hampir berubah buat saya. Kami (Dortmund dan Aubameyang) bersetuju untuk meluluskan perpindahan tetapi tiada apa yang berlaku," kata Aubameyang.

"Saya sentiasa selesa berada di Dortmund, di dalam pasukan serta bersama Borussia Dortmund. Ia ternyata benar pada hari ini bahawa Borussia Dortmund adalah keluarga saya!"

Dortmund kini berada di tangga teratas liga, lima mata mengatasi juara bertahan, Bayern Munich, selepas tujuh perlawanan dan bakal melayani kunjungan RB Leipzig, Sabtu ini.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen