ATLETICO MADRID 3 DEPORTIVO ALAVES 0

Nikola Kalinic tampak sudah menemui rentak di Atletico Madrid dan Diego Simeone memerlukannya dalam prestasi terbaiknya.


Selepas menyumbat gol pertamanya sejak tiba dari AC Milan pada Ogos lalu dalam kemenangan Copa del Rey ke atas Sant Andreu 4-0, Rabu lalu, Kalinic menggandakan golnya dengan jaringan pembukaan ketika Atletico menumpaskan Deportivo Alaves 3-0, malam tadi.

Jaringan penggempur Croatia itu disusuli gol Antoine Griezmann dan Rodrigo dalam tempoh 10 minit terakhir yang membuatkan keputusan perlawanan itu seolah-olah dibayangi aksi mudah di sebalik Alaves berjuang hebat dalam separuh masa kedua.

Simeone gembira dengan persembahan terbaru Kalinic sambil menekankan kepentingannya kepada pasukan kendaliannya, lebih-lebih Diego Costa dijangka tersisih selama dua bulan akibat pembedahan kaki.

"Dia sudah lama bekerja keras. Dia tiba dari tahun yang sukar di Milan, dia mengintai tempatnya dalam pasukan, kami telah membincangkannya," kata pengurus Atletico itu kepada SPORTS.

"Saya tidak mempunyai komitmen dengan sesiapapun, saya membiarkan diri saya dipimpin oleh apa yang saya percaya, dengan apa yang saya rasakan dan sensasi yang dijelmakan pemain.

"Dia beraksi baik ketika menentang Sant Andreu dan dia berjaya sekali lagi, ini membuatkan kami gembira kerana kami memerlukan sentuhannya."

Tambah Simeone dalam sidang akhbarnya: "Dia memanfaatkan peluangnya dan memberi sumbangan besar daripada sekadar menjaringkan gol.

"Dia tahu saya tidak mempunyai komitmen kepada sesiapa sahaja dan terus berkembang, khususnya menerusi penglibatannya dalam perlawanan."

Saul Niguez memulakan aksi sebagai pertahanan kiri dengan tiga tonggak pertahanan utama ditimpa kecederaan.

Sungguhpun Filipe Luis dan Diego Godin hampir pulih, kelab itu mengesahkan Lucas Hernandez mengalami kecederaan lutut kanannya berikutan Jonathan Calleri mendarat di kakinya dalam separuh masa pertama.