ATLETICO MADRID 1 QARABAQ FK 1

Ketua jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone, mengakui perasaan gugup di depan gawang menjadi punca ketumpulan penyudah ketika seri 1-1 menentang Qarabag FK dalam Liga Juara-Juara di Madrid, awal pagi tadi.


Peluang Atletico untuk meneruskan laluan ke pusingan kalah mati menjadi tidak pasti selepas penyandang juara Liga Perdana Azerbaijan itu mengikat tuan rumah buat kali kedua.

"Penjelasan adalah alasan. Kami tidak bermula dengan teruk, kami boleh melakukan lebih impak tetapi tidak klinikal dan Qarabag menjaringkan gol," kata Simeone dalam sidang media selepas perlawanan.

"Kami berasa cemas, gugup.

"Hasilnya bukan apa yang kami mahukan dan kami tahu bahawa sekarang kami mempunyai masalah untuk menjaringkan gol.

"Mungkin, kalau tahun-tahun sebelum ini kami sudah menang perlawanan seperti ini.

"Apabila anda menjaringkan gol, orang bercakap mengenai kekuatan anda, keberanian anda. Apabila anda tidak menemui gol, semua mempunyai pendapat yang berbeza," katanya.

Atletico kini memerlukan sekurang-kurangnya enam mata daripada baki dua perlawanan, menentang Roma dan Chelsea, untuk berpeluang mara ke pusingan 16.

Walaupun Qarabag tidak dapat mempertahankan kelebihan 1-0 bagi meraih kemenangan popular, ketua jurulatihnya, Gurban Gurbanov, teruja kerana pasukannya dapat memberi saingan sengit kepada finalis 2016 itu.

"(Atletico) bermain dengan baik, kita semua tahu tahap mereka, tetapi pemain saya tidak mahu kalah dan menunjukkan karakter mereka," kata Gurbanov.

"Kami berada dalam kumpulan yang sukar, bagi kami ini adalah mengenai mendapatkan pengalaman dan pembelajaran. Kami mempunyai dua mata tetapi ingin cuba mendapatkan lebih banyak lagi."