JUVENTUS 1 ATLETICO 0

Koke mendedahkan Atletico Madrid berasa "berang" dengan kekalahan kepada Juventus yang menyaksikan pasukan kendalian Diego Simeone itu belum dapat memastikan kemaraan dalam Liga Juara-Juara (UCL).


Sepakan percuma Paulo Dybala menuju waktu rehat menjamin juara Serie A itu mendahului Kumpulan D dan secara tidak langsung membuatkan Atletico perlu bersaing dengan Bayer Leverkusen dalam pemburuan tempat kedua.

Alvaro Morata terlepas peluang terakhir permainan untuk mencatat seri di Turin awal pagi tadi meskipun gol berkenaan mungkin akan dibatalkan oleh video bantuan pengadil (VAR) akibat ofsaid, untuk wakil Sepanyol itu gagal mengelak kekalahan kepada pasukan yang telah menyingkirkan mereka pada musim lalu itu.

Pemain tengah, Koke, kecewa dengan keputusan tersebut dan ini bermakna Atletico wajib menundukkan Lokomotiv Moscow di tempat sendiri bulan depan bagi menjamin kelayakan mereka dalam pusingan kalah mati.

"Kami sangat marah, pasukan ini telah mencurahkan segala-galanya, kami telah mencipta peluang tetapi nasib tidak menyebelahi kami untuk menang," katanya.

"Mereka tidak mendominasi kami tetapi dalam detik terakhir babak pertama, mereka mendapatkan gol.

"Pasukan ini telah mencuba segala-galanya, kami menguasai bola dan kami melancarkan serangan dengan baik. Kami hanya perlu memasukkannya (bola ke dalam gawang)."

Atletico gagal memenangi enam perlawanan terakhir di tempat lawan dalam semua pertandingan tetapi, tambah Koke, mereka berhak untuk meraih keputusan yang lebih baik ketika menentang Juventus.

"Acap kali kami dikritik kerana bermain dengan teruk dan menang, kini kami bermain dengan baik tetapi gagal menang pula," katanya.

"Hasilnya akan tiba jua, kami mencipta peluang, kami perlu lebih tajam lagi di kawasan lawan.

"Tidak ada sebarang kelalaian yang berlaku ketika kami bertemu Granada pada Sabtu lalu (seri 1-1 dalam aksi LaLiga), begitu juga hari ini."