Athletic buatkan kami bekerja, akui Busquets

Oleh Penulis Jemputan 29 Oktober 2017 8
Athletic buatkan kami bekerja, akui Busquets
ATHLETIC BILBAO 0 BARCELONA 2

Sergio Busquets mengakui Barcelona terpaksa berusaha keras untuk mendapatkan kemenangan 2-0 ke atas Athletic Bilbao dalam perlawanan LaLiga di San Mames, awal pagi tadi.


Jaringan ke-12 Lionel Messi dalam 10 perlawanan La Liga memastikan skuad Catalan itu memenangi perlawanan tetapi pemain gagal mengulangi prestasi baik pada babak kedua hingga membuatkan mereka bergantung kepada Marc-Andre ter Stegen untuk kekal di depan.

Setelah menafikan dua percubaan Aritz Aduriz pada separuh masa pertama, penjaga gol Jerman itu beraksi luar biasa dengan menyelamatkan tandukan daripada penyerang Athletic di hujung perlawanan.

Sentuhan Paulinho pada masa kecederaan melengkapkan kemenangan bagi memastikan jurulatih pelawat, Ernesto Valverde, menikmati kejayaan ke atas bekas kelabnya itu.

"Mereka membuat kami bekerja, terutama pada separuh masa kedua," kata Busquets kepada Movistar.

"Gol itu penting bagi kami. Pada babak kedua mereka lebih baik, mereka meningkatkan permainan mereka. Kami perlu lebih tepat dengan hantaran dan kawalan bola tetapi kami menang 2-0.

"Sama ada ia hebat atau tidak, kami terus mara. Ia tidak mudah, ini adalah tempat bagus dengan pemain yang baik.

"Mereka menekan kami dan kami berasakan tekanan. Ia sukar untuk menembusi pertahanan mereka, kami melakukannya tetapi tidak mencukupi," katanya.

Athletic juga meraih peluang baik, dengan tandukan Raul Garcia daripada sepakan sudut menemui palang ketika mereka gagal menjaringkan gol menentang Barca untuk pertemuan liga kelima berturut-turut.

"Kami mempunyai tiga atau empat peluang terbaik untuk meletakkan pasukan di depan tetapi kami tidak mengambilnya dan mereka melakukannya," kata jurulatih Athletic, Ander Iturraspe, kepada Movistar.

"Kami terus mendapat peluang, Ter Stegen beraksi sangat baik. 

"Sukar sejak beberapa minggu lalu tetapi kami perlu fikir dengan siapa yang kami bermain. Kami boleh berbangga dengan prestasi ini -- kami melakukan tugas kami," hujahnya.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen